Sembang dulu cerita sepagi KLIA Sepang

Apr 09, 2008 17:53



Singgah hujan kampus puteri
Originally uploaded by Ssuriha

Gambar dari kamera telefon bimbit baru. Puas hati dengan kamera telefon ini walaupun bukan secanggih kamera GPS sesaorang itu.

Entri ini public pada harijadi tuan puteri di dalam gambar. Gambar petang semalam singgah kampus U**.

Aduh kepanikanlah pula. Pun sekadar berlagu bergurau senda penyedap tulisan. Tenang berehat mereda penat semalam sepanjang hari meronda sana sini. Dari Bandar Baru Bangi pergi KLIA Sepang pergi KLCC pergi U** pergi Alamanda. Keluar rumah pukul sepuluh pagi. Pulang sampai rumah selepas pukul sebelas malam.

Malam tadi suami menelefon tanya kala Su dan Safura baru meninggalkan Alamanda. Abah risaulah tu. Mak keluar pagi sampai malam. Kalau engkau orang dia tak kisah. Dia tahu engkau orang boleh jaga diri.

" Abah tahu Mak pun pandai jaga diri. Masalahnya Mak tu kan sakit. Lagi pun Mak tu kan isteri dia. "

Berehat sambil mengemas bagasi. Pun begitu sekadar santai mengemas. Bagasi bermalam senantiasanya berisi pakaian. Bayangkan hampir setiap hujung minggu kini selalunya berpergian bermalam. Bagaimanapun kali ini perlu kemas bagus-bagus. Persediaan melalui kastam Melbourne. Semua bagasi kecil atau besar mesti melalui mesin mengimbas apa isi di dalam. Samada pelancong mahu pun orang tempatan. Semua tanpa kecuali.

Satu situasi Su sedikit kurang selesa bila sampai Melbourne. Bab melalui mesin pengimbas ini. Risau kalau-kalau terselit barang tanpa diundang. Mohon kali ini bagus semuanya seperti hari-hari baru sampai Melbourne dua kali sebelum ini. InsyaAllah mudah-mudahan semua urusan selamat sentosa dipermudahkan Allah Subhanahuwataala.

Cerita semalam 8 April hari Selasa.

Pagi pukul enam berkumandang azan Subuh dari surau. Azan dari tiga surau berbeza. Surau nun di atas bukit. Surau di belakang rumah. Surau seberang persiaran. Alhamdulillah syukur dengan persekitaran begini.

Suami baru terbangun dari tidur. Kita tanya pandangan samada suami temankan Su pergi KLIA atau perlu menunggu Safura bangun. Kesian Baby penat semalam dah pergi.

Jawapan bernada mendengus. Kita kan kerja.. Itulah sebabnya pun kita bercadang pergi awal pagi sebelum pukul lapan. Pun hanya diam tanpa membalas kata. Malas mencari fasal.

Mulalah kita menjawab sendiri nun dalam hati sanubari. Kalau bab kerana kawan-kawan atau saudara mara. Bergegas laju tanpa mengira masa. Kalau kerana orang. Sanggup berkorban jiwa raga. Lalu pada sahabat dan teman. Orangnya terlalulah budiman sanggup berkorban. Mudah berlebih kurang.

Pun sebenarnya member bersetuju saja kalau kita ini bernada lebih tegas meminta. Bagaimanapun kita ini teramat-amatlah jarang bernada begitu. Sebagaimana kata Safura. Abah tu sayang. Mak tu yang tak pandai demand.

Menunggu Safura bersiap. Sudahnya hanya beransur pergi KLIA Sepang selepas pukul sepuluh pagi. Pergi tanpa sempat pun bersarapan pagi. Hanya sempat masukkan pakaian kotor dalam mesin basuh dan bersihkan sinki. Juga belum sempat makan Mee Goreng masakan suami. Pun hanya tahu suami goreng mee selepas Su dan Safura memasuki kereta.

" Kenapa hah tiba-tiba Abah goreng mee. Abah teringin makan lah kot. Malam tadi makan Meehoon Goreng. "

Soalan itu dari kita sekadar sedikit kaget. Member bukan lagi seperti satu masa dulu.

Singgah Stesen Petronas Unikeb seksyen di atas bukit. Kembali susur lalu kawasan perumahan. Kereta susur turun melandai bukit bersebelahan dengan sekolah lama Idris. Sembang lagi tentang sekolah Idris. Sekolah dengan keputusan lebih dari 85 peratus pelajar PMR 2007 dapat 8A. 176 pelajar dengan 8A dari keseluruhan lebih 200 calon.

Tadi semasa menaiki bukit. Kita bercerita. Bagaimana bergema dewan di UPM itu bila nama sekolah ini disebut. Gema sorakan dan tepuk tangan. Majlis hadiah Pelajar Cemerlang PMR 2007 negeri Selangor.

Tanya Safura. " Tapi kenapa tak pernah keluar dalam surat khabar hah? "

" Wartawan tak tahu kot. Nanti Mak tulis dalam blog. Tapi cerita PMR tu dah lama ketinggalan. "

" Tak pe lah. Kita tulis buat kenangan kita. "

Singgah kedai Tujuh Sebelas Jalan 11. Sementara menunggu Safura beli top up telefon bimbit. Su menelefon suami tetapi tiada jawapan. Mungkin sedang mengajar.

Sekembali Safura dari kedai Tujuh Sebelas. Komen Safura. Pekerja kedai ni bagus sikit sekarang. Tak macam dulu. Dulu kan pekerja dia sombong. Buat tak peduli kat orang datang beli. Sekarang ni pekerja dia pun pakai tudung.

Berceritalah kita. " Mak pun sebelum ni pernah tulis dua kali dalam blog. Fasal pekerja kedai ni kurang mesra pelanggan. "

Kereta meninggalkan Jalan 11. Lagu dari radio.

" Siapa nyanyi lagu ni? Ungu? Padi? Gigi? Rasanya Ungu. "

" Entah. Padi? Gigi? Bibir kot. "

Sama-sama ketawa.

Memang betul tekaan kita. Lagu Ungu.

" Mak tahu? Sekarang ni kumpulan dari Malaysia pun dah bagi nama satu perkataan macam Indonesia. Hujan. Matta. "

" M A T T A? Macam Matta Travel Fair je. "

Sambung kata selepas ketawa berdua.

" Orang Malaysia kan suka apa-apa yang dari seberang. Suka Donut J Co. Padahal pada Mak biasa je donut tu. Sedaplah lagi Big Apple. Suka lagu sana. Orang kita suka apa-apa dari sana sebab tanpa sedar, ramai suka apa-apa dari kampung asal usul. "

Pertama kali Idris tahu barisan panjang di Pavilion itu kerana mahu beli donut Indonesia. Idris kaget. Indonesia?

Jawab kita malam itu. Orang kita sekarang ni kan musim suka apa yang dari sana.

" Mak baca forum kat internet tu? Teruk diaorang kutuk kita. "

Jawapan bernada malas ingat tentang hal itu. Tahu..

Sambung mengomen. Selepas bla bla bercerita.

" Kalau kita nak maju.. Kita kena lah berhijrah. Macam raja-raja Melayu. Parameswara tu dari sana. Hari ini. Sana mana ada lagi raja bertahta.. "

Kereta melepasi Persiaran Bangi. Telefon suami. Beritahu kami pergi KLIA. Juga beritahu kami berkira-kira pergi KLCC selepas selesai urusan di KLIA. Baby nak beli kasut kot..

Safura tanya mahu ikut jalan mana. Ikut Nilai atau Sepang. Ikutlah pilihan pemandu.

" Baby tahu jalan kan. Mak nak tidur ni.. "

Terlelap mata sejurus selepas kereta melepasi Plaza Tol Bangi. Tahu-tahu kereta sudah menghampiri simpang menuju parkir KLIA.

Terlelap kerana penat. Penat kerana kurang tidur.






Tetamu Rasanubari

klia, melodi, airport, sepang, flickr, kepenatan, wednesday, sembang, wilmana, manna

Previous post Next post
Up