Bersambung cerita 2 Syawal 1427H di Johor Bahru. Bergerombolan ke Tebrau City.
Berkumpul empat buah kereta di tepi jalan sebelum simpang ke bangunan Tebrau City di atas bukit rata. Menunggu kereta hijau muda paling lambat sampai. Kereta dipandu suami mengangkut semua anakanda-anakanda lelaki.
Keluar Johan dari kereta. Berbual di tepi tingkap kereta biru Su dan dua puteri serta Bonda. Johan menanyakan samada Su pernah ke Tebrau City ini.
" Hang pernah datang sini sebelum ni? " Tanya Johan di luar kereta.
" Ini kali pertama. " Menjawab kita dari dalam kereta.
Kali pertama ke Tebrau City tetapi bukan kali pertama lalu sini. Selalu berulang sini setiap kali mengikut suami berurusan kerja ke Kota Tinggi. Juga pernah lalu tepi Tebrau City ini dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kota Tinggi pada bulan Julai lalu. Lalu malam dari Johor Bahru ke Kota Tinggi.
Dari jauh kelihatan bangunan Jusco Tebrau City besar agam di atas bukit rata. Pun begitu sangkutan pandangan Su yang pertama adalah pada tulisan besar nama kedai buku Popular. Nama buku ini menguasai pandangan luar bangunan Tebrau City. Itu pandangan mata ini. Lain orang mungkin lain yang tersangkut pandangan. Misalnya anak kecil mungkin lebih terpandangkan pada nama restoran makanan segera. Ti pula mungkin lebih terpandangkan pada nama kedai emas berlian.
Tiga kereta menuruti kereta ungu muda Muzaffar ke parkir di dalam bangunan. Parkir tingkat basement.
Kereta biru kami kereta kedua mendapat tempat parkir selepas kereta Johan entah mana. Menelefon Ti lagi sejurus selepas kami berempat masuk ke dalam bangunan Tebrau City ramainya manusia walaupun baru 2 Syawal. Menelefon Ti kala kami berempat sampai di hadapan pintu utama Jusco. Su dan Bonda bersama dua puteri. Sejurus selepas kami keluar dari lif.
Pesan Ti. " Hangpa tunggu kat Level Concourse tepi escalator.. "
Terlihat Ti sekeluarga di tingkat bawah. Turunlah kami berempat berescalator ke tingkat bawah. Rombongan kereta hijau pun sudah berkumpul datang. Dari jauh terlihatkan suami. Berkumpul semua di hadapan kedai emas bersetentangan dengan kedai barang permainan terkemuka. Kedai barang permainan berpandangan terang berwarna-warni. Risau kita melihatkan Bonda terpaksa berjalan jauh. Bonda dengan kaki kurang sihat. Su memperlahankan jalan. Berseiring jalan dengan Bonda.
Satu bagusnya bangunan Jusco ini. Selalunya bangunan Jusco bersusun merata bangku kayu buat pelanggan berehat. Mall pilihan buat warga kurang sihat seperti Su ini. Su dan Bonda berehat duduk di bangku panjang sementara kami menunggu Johan sekeluarga sampai.
Menelefon Johan. Rancangan asalnya tanpa berkata janji namun sudah termaklum, kami semua bergerombolan berseiringan bersama ke medan selera. Beberapa kali menelefon. Tiada jawapan. Begitulah juga dengan telefon Rozi dipanggil Daniel. Pun tiada jawapan. Daniel sekereta dengan Pak Long dan lain-lain kekanda sepupu lelaki.
Lebih kurang lima belas minit kami menunggu. Su SMS Johan. SMS jawapan dari Johan. Kami tengah makan kat tingkat 3. Waduh..
Jangan berkisah panjang jangan mengomel. Kami semua beransur bergerombolan ke medan selera Jusco. Su senyum-senyum menunjukkan balasan SMS Johan kepada Muzaffar. Ti hanya tersenyum kelat berlagu sinis. Kami semua sama setuju dalam diam. Jangan membesarkan hal ini di hadapan Bonda. Suami kita pula seperti biasa. Semuanya tiada apa-apa. Malah kurang tahu 'apa cerita'.
Bingit dan bisingnya suasana kompleks. Ramainya manusia. Berkebetulan masih bermusim jualan murah Jusco. Apapun dari penglihatan kita. Kebanyakan mall di Johor Bahru senantiasanya ramai manusia tidak kira musim.
Mencari meja makan panjang. Berkumpul kami di dua meja panjang bersebelahan. Kami enam orang perempuan dan semua anakanda-anakanda lelaki berkumpul satu meja panjang. Suami dan Muzaffar berdua di meja makan di sebelah sana. Muzaffar berpuasa enam. Alhamdulillah berkebetulan pula dua meja kosong bersebelahan. Walhal ramai sungguh pelanggan medan selera ini.
Kelihatan Johan sekeluarga sedang makan nun di sebelah sana. Datang Rozi dan Daniel mahu menjernih suasana. Rozi berkisah Johan yang mahu terus ke kedai makan walhal Rozi mahu menunggu.
" Rozi dah cakap kat Johan tunggu dulu. "
Tidak mengapalah. Usah insiden sekecil begini mengeruh suasana meriah harmoni. Walaupun mulanya tadi Su dan Ti sedikit kurang senang dengan perpecahan grup walhal sudah berbincang awal mahu bergerombolan. Pun rasa kurang senang itu hanya seketika buat beberapa minit. Lupa semua itu bila berkumpul semula semua. Meriah hati lebih dirasai. Alhamdulillah tetap berkumpul semua walaupun satu keluarga tercepat sampai. Walaupun satu keluarga bersesi makan dulu.
Lagipun mungkin Johan sekeluarga sudah terasa lapar. Memandangkan kami keluar rumah tanpa makan tengah hari.
Ramainya manusia. Bingitnya suasana. Bingit kedai makan sebagaimana bingit di luar sana. Medan selera di tengah-tengah medan mall. Kita sudah mulai pening dan sakit-sakit kaki. Masih demam. Masih berselesema. Suasana bingit menambah rasa demam. Bingit medan selera di dalam Jusco yang sedia bingit ramai.
Belum terasa lapar tetapi makan juga bila terpandangkan kedai makan Mee Rebus Tulang. Makan Mee Rebus Tulang Lembu seperti di dalam gambar. Mee dibelikan Suraya. Duitnya dari kita. Minum ABC. Mee Rebus kurang sesuai dengan citarasa. Terlalu pekat dan sedikit masam kuahnya.
![](http://farm3.static.flickr.com/2343/2045973851_3faf00a783_m.jpg)
Bonda makan Sizzling Mee sebagaimana dengan semua tiga anak lelaki Ti. Safura makan Yong Tau Foo. Suraya makan Laksa Asam. Idris seperti selalunya. Makan Nasi Ayam bila tiada Nasi Goreng Ayam. Ti hanya minum.
Kali ini makan bayar sendiri-sendiri bila bukan makan di restoran. Ini kali pertama kami berkumpul tiga keluarga saudara makan besar hari raya selepas makan besar beberapa tahun lalu di Restoran Singgah Selalu. Restoran Singgah Selalu yang lama di Pantai Lido. Dulu-dulu Restoran Singgah Selalu ini memang kami singgah selalu. Berkumpul makan besar dihari raya. Bagaimanapun Su sekeluarga belum pernah singgah restoran baru restoran ini - yang kini berpindah kedudukan bukan tepi laut lagi walaupun memang selalu lalu.
Ti mengomen cantik jubah Su pakai. Kita pun beritahu ini jubah dari Mekah beli di Malaysia. Su kurang perasan pula cantiknya jubah baru ini. Jubah dibeli kerana sederhana di mata. Su gemar busana sederhana kurang menambat mata ramai.
Ti dan semua yang lain mahu meronda Jusco. Su mulai sakit kaki. Malas meronda kedai. Mulanya Su dan Bonda mahu terus menunggu di medan makan. Sudahnya beransur turun menunggu di tingkat dua. Suami mendukung Mariam. Sekumpulan dengan Su dan Bonda yang malas shopping. Kami menunggu di hadapan kedai emas lagi. Kedai emas yang tadi.
Sebelum itu kami bertembung dengan Johan sekeluarga di bahagian pakaian Jusco. Daniel dengan bungkusan roti panas harum bau di tangan. Roti Boy versi Johor Bahru.
Merengeklah Mariam mahukan dua orang kakak yang senyap-senyap melarikan diri dari Mariam ketika Mariam didukung Pak Long. Merengek pula Mariam mahukan ibu. Bonda mensarankan Su menelefon Ti. Supaya boleh Mariam dihantar kepada Ti. Bernada marah sekejap Bonda bila kita tidak dapat menghubungi Ti. Bonda pula menelefon. Pun panggilannya tidak berjawab. Mungkin telefonnya di dalam beg. Alhamdulillah Ti datang sebelum marah Bonda mulai panas.
Datang Ti dengan sehelai cardigan baru beli warna merah jambu buat Mariam. Semuanya merah jambu dari atas sampai bawah. Busana comel merah jambu.
Tadi di medan selera sudah bersepakat semua berkumpul di parkir sebelum pukul 5. Jangkanya kami semua bergerombolan beransur ke Telok Danga pada pukul 5 selepas Muzaffar dan orang Johor Bahru solat Asar di Tebrau City ini.
Berkumpul semua di hadapan kedai emas lebih kurang sepuluh minit sebelum pukul 5. Su berurusan menelefon memanggil semua putera puteri. Hanya Johan hilang terus ke kereta. Kali ini Daniel bersama geng keluarga. Bagaimanapun semua sudah disarankan menunggu sampai kereta Muzaffar beransur mengetuai rombongan. Bakal bergerombolan beransur keluar dari parkir. Apa-apa hal semua berkumpul di parkir sebelum pukul 5.
Sempatlah Ti sekeluarga meninjau-ninjau barang kemas terpamer di kedai emas. Kita kurang terpandang. Hanya melihat-lihat pandangan suasana ramai serata mall. Memang ramai walaupun cuti raya. Ti memang pengumpul barang kemas.
Su berdua dengan Bonda dan dua puteri paling lambat keluar dari mall. Melayan Bonda membelek sekejap sepatu-sepatu kulit di bahagian kasut Jusco. Kasihan juga kerana Bonda tidak sempat membeli. Sepatu kulit berharga diskaun. Kereta-kereta lain sudah menunggu. Pun begitu Bonda relaks bermood ceria senang hati. Kurang berkisah walaupun tidak sempat membeli.
Alhamdulillah segerombolan beransur keluar dari parkir sejurus selepas Su dan Bonda memasuki kereta. Sudah beratur bertiga kereta menunggu kami. Sebelum itu Rozi menelefon menanyakan di mana Su dan geng kereta biru. Su pula menelefon beritahu Ti di mana kereta Johan tanpa perasan rupa-rupanya kereta Johan sudah beratur menunggu di belakang kereta Muzaffar. Kereta hijau dipandu suami pun sudah menunggu. Kereta dipandu suami di belakang kereta Johan.
Alhamdulillah syukur. Berderet empat kereta keluar dari Tebrau City besar agam menuju Pantai Lido. Keluar dari bangunan Tebrau City kala hujan renyai petang mulai membasahi bumi. Bumi Tebrau berkenangan kami bertiga saudara masih serumah dengan Bonda dan bapa tiri kami di rumah tentera berhampiran sini.
![](http://bighugelabs.com/flickr/profilewidget/randomint/000000/ffffff/51035607552@N01.jpg)
![](http://flagcounter.com/count/EI2b/bg=FFFFFF/txt=000000/border=CCCCCC/columns=5/maxflags=35/viewers=3/labels=1/)
![](http://c3.statcounter.com/counter.php?sc_project=405589&java=0)
Tetamu Rasanubari![](http://banners.copyscape.com/images/cs-wh-234x16.gif)