Demam lagi. Hari ketiga demam selepas lebih dari seminggu demam-demam masih boleh keluar dari rumah. Semalam demam hampir seharian di atas katil. Lebih separuh dari bulan Ramadhan 1427 H dengan demam. Bukan kerana penat berpuasa. Secara kebetulan ujian demam-demam begini pada setiap kali bulan Ramadhan. Alhamdulillah syukur dan redha. Demam-demam dan sakit tanda-tanda diperhati dan diperingatkan. Harapan dan redha berserah berlagu syukur.
Sepagi demam. Malam semalam tidur dengan menggeletar badan kedinginan demam. Malam tadi beransur kurang dingin badan. Sekali lagi menunda rancangan keluar rumah berurusan itu ini belum selesai menjelang raya. Bersusun itu ini penangguhan kerana demam diawal Ramadhan, demam dipertengahan Ramadhan, demam dihujung Ramadhan.
Baju raya semua ahli keluarga baru beli sepasang seorang. Biasanya beli tiga pasang seorang. Baju raya buat diri sendiri memang jarang beli. Pakai apa saja jubah yang ada. Apapun kita disunatkan berpakaian paling baru dan bagus antara pakaian yang ada pada pagi hari raya. Lestari gembira bersyukur selepas ibadah berpuasa sebulan dibulan Ramadhan. Kalau esok lusa sihat untuk keluar shopping, beli satu jubah baru kalau terlihat yang berkenan di hati.
Kalau berlarutan cerita senarai belum dibeli dan belum diperbuat, mahunya berjela panjang entri. Perlu satu entri khas hanya buat senarai ini. Saya kurang pandai merumus ringkas. Kalau bukan seringkas sebaris begini.
Keutamaan sekarang adalah penghayatan Ramadhan yang hanya tinggal dua hari sebelum 1 Syawal. Alhamdulillah tahun ini saya khatam awal pembacaan Al-Quran. Khatam pada 27 Ramadhan. Berupaya tidak meninggalkan solat tarawih dan solat sunat malam walaupun solat duduk kala demam. Alhamdulillah Ramadhan tahun ini lebih bagus dari tahun lepas pada piawan pencapaian peribadi.
Turun sebentar ke ruang tamu lewat pagi ini. Ahli keluarga ini perlu diberitahu sebelum mula bekerja. Dua anak dara ditugaskan sapu dan mop tangga dan semua kamar tidur di tingkat atas kecuali kamar utama. Sapu dan mop lantai dapur. Bersihkan kipas-kipas meja. Bersihkan peti ais. Idris ditugaskan lap gril tingkap kamar tidur utama.
Semalam dua anak dara ditugaskan lap bersih gril dan kaca semua pintu gelongsor dan tingkap-tingkap di tingkat bawah. Idris ditugaskan bersihkan meja kerusi taman.
Suami pagi tadi menyambung cat pintu pagar dan besi pagar hadapan. Dari biru laut bertukar kepada warna merah burgundi. Komen saya bila puteri kedua mencadangkan beli pintu pagar baru. Pakai saja selagi boleh pakai. Lagipun sebenarnya kita berkenankan pintu pagar kayu. Tunggu sampai mulai rosak pintu pagar ini. Pintu pagar asal rumah ini.
Lagu hari raya di kaca tv di kamar tidur utama. Penyanyi berkaca mata berbaju Melayu Johor warna putih. Usai berdua orang demam mengadap satu cerita orang kampung. Kisahan orang kampung bergosipan selepas kepulangan ibu tunggal dibulan puasa. Pun begitu sebenarnya disepanjang bulan puasa ini tv kurang ditontoni. Kecuali rancangan-rancangan mampu diambil pengajaran bersempena bulan berkat ini.
Kalau drama tv, hanya yang bertema siri sesuai ditontoni seisi keluarga. Tontonan selalu rumah ini. Dua sinetron dari seberang. Hikmah 2 dan Bawang Putih Bawang Merah.
Rancangan setiap hari tidak lepas ditontoni, Siaran Langsung Solat Tarawih Dari Makkah Al-Mukarrahmah. Petang pukul 6.30, bersilih ganti antara Shahadah dan Jejak Rasul. Dulu awal Ramadhan, sesekali mengikuti siri Zamman Al-Wasel berlatar sejarah kerajaan Islam Andalusia. Siri ini sejurus selepas siaran langsung dari Makkah. Bila demam, terus tidur sejurus selepas tamat siaran langsung dari Mekah. Bila terlalu demam, tidur dengan telinga mendengar bacaan imam dari Mekah dari tv di tepi katil. Biasanya tv dibiarkan terpasang perlahan sampai bangun untuk bersahur. Tidur-tidur ayam sambil telinga mendengar siaran Tadarus Al-Quran RTM sampai pukul 5 pagi.
Catatan merakam memori Ramadhan 1427 H. Usai hampir setiap malam mengadap siaran langsung dari Masjidil Haram. Saya terjatuh hati dengan bacaan Al-Quran dan doa seorang imam dari Mekah ini. Sheikh Abdul Rahman As-Sudais.
Juga istimewa mimpi malam tadi. Malam tadi mimpi berlegar-legar di kota Mekah. Bertemu seorang imam tanpa terlihat muka berselubung kain. Mimpi awal pagi selepas malam tadi berhabisan menangis membasahi pipi kala Sheikh Abdul Rahman membacakan doa penutup bacaan Quran 30 juz. Antara mimpi istimewa dalam hidup. Antara catatan istimewa Ramadhan 1427 H. Bangun pagi bernyaman sanubari.
Safura bawakan kad raya ketika kita sedang menggunakan laptop di kamar tidur ditemani Idris. Seharian ini di kamar tidur berpasangan pendingin udara. Dua orang demam di kamar tidur ini. Kita dan putera mahkota.
Kad raya dari pembaca Orang Petaling Jaya. Sehari sebelum semalam terima kad dari Melbourne. Juga kad raya dari blogger berasal dari Kuching. Gambar sekeluarga berbaju warna ungu muda menghiasi kad. Tahun ini dalam rumah ini, Alhamdulillah kita paling banyak terima kad raya. Itu belum lagi dikira kad-kad raya dari sahabat-sahabat keluarga selalunya menamakan penerima kadnya Dr. Ar sekeluarga.
Bulan puasa kali ini kurang mengadap komputer. Bukan saja kerana selalu demam, istimewa melebihkan masa buat segala urusan berkaitan dibulan Ramadhan. Antara paling saya iltizamkan, khatam dalam masa sebulan pembacaan Al-Quran dibulan Ramadhan. Juga amalan-amalan sunat lain dibulan redup hati nyaman sanubari ini.
Kembali kepada cerita kala bertontonan lagu hari raya. Tontonan terselayang lalu sebelum siaran berita. Berita petang berberita lebuhraya mulai sibuk sebermula ramai warga kota beransur balik kampung.
Komen Idris. Orang kampung macam dalam cerita ni terlebih sangat ambil tahu hal orang. Orang bandar pula ada yang sampai tak peduli langsung hal orang. Ini komen berdasarkan apa yang terlihat sesekali oleh putera ini lewat tontonan di kaca tv.
Komen kita. " Mak suka macam tempat kita ni. Tak terlalu ambil tahu. Tapi masih mengambil tahu khabar jiran. Tahu kalau jiran sakit dan sebagainya. "
Komen Idris kala penyanyi berkaca mata hitam berlagu hari raya. Penyanyi lelaki selalu bertopi.
" Orang kita raya lagi lama dari bulan puasa. "
Bersambungan komen kita.
" Ha ah. Kelmarin terkejut Mak. Malam 27. Patutnya kita perbanyakkan amalan. Kot-kot malam tu Malam Lailatul Qadar. Malam tu tv dah main lagu raya! Ramadhan belum habis, orang kita macam terlupa masih ada hari-hari puasa. Seminggu sebelum raya dah mula bersemangat hari raya. Syawal dah habis, 1 Zulkaedah, masih dengan open house hari raya. Memanglah raya orang kita lagi lama dari bulan Ramadhan. Sebulan setengah. Patutnya dah tinggal beberapa hari saja lagi puasa macam ni, tv mainkanlah nasyid-nasyid mengingatkan merebut amalan sebelum Ramadhan pergi. "
Sepatutnya bila tinggal hanya dua tiga hari dibulan Ramadhan, bersemakin kuat semangat bulan Ramadhan kita. Bila Ramadhan semakin berpenghujung hari buat tahun ini. Bersayu rasa berpanjangan umurkah kita buat mengulangi peluang beramal dibulan penuh keberkatan ini. Sebaris catatan ini sebagai peringatan buat diri sendiri.
Petang ini suami pulangkan kereta warna biru gelap ke tempat asal kereta. Kereta sewa atas urusan universiti. Kereta suami gunakan ke hutan sempadan dua negeri pada awal minggu ini. Kita sarankan suami bawa Idris sama. Komen Idris sepulang dari hantar kereta. Abah komen bagus kereta tu. Itu kereta idaman suami kita.
SMS kita buat suami. Hari ni malam 29, besar kemungkinan malam LailatulQadr. X berhajat iktikaf kat masjid ke.
Suami menelefon apa mahu dibeli dari Pasar Ramadhan PKNS. Sekali lagi suami menelefon sejurus kita baru tutup telefon bimbit. Mensarankan kita mengingatkan Idris bersiap-siap pakai dan sebagainya. Petang ini mahu ke Masjid Seri Petaling. Kita menanya. Iktikaf kat sana? Alhamdulillah syukur bila jawapannya beriktikaf satu malam. Alhamdulillah berjaya pancingan SMS kita.
Malam ke 29 malam terakhir berangka ganjil Ramadhan tahun ini. Malam dinanti tunggu istimewa. Istimewa berhembusan halus rindu rasa kalbu berharapan rahmat malam seribu bulan.
![](http://bighugelabs.com/flickr/profilewidget/randomint/000000/ffffff/51035607552@N01.jpg)
![](http://flagcounter.com/count/EI2b/bg=FFFFFF/txt=000000/border=CCCCCC/columns=5/maxflags=35/viewers=3/labels=1/)
![](http://c3.statcounter.com/counter.php?sc_project=405589&java=0)
Tetamu Rasanubari