Anggun hitam sama hitam peneman selalu Originally uploaded by
Ssuriha Kurang sihat. Penat macam-macam. Hari ini InsyaAllah berpergian lagi. Sedari pulang dari Melbourne. Sentiasa berpergian pergi dihujung minggu. Apa pun Alhamdulillah bila pergi sana sini. Kurang sunyi sesekali berlayangan rindu melayan realiti terkini semua cahayamata hati beransur pergi. Kurang masa melayan kalbu terkurang selesa sesekali tersinggah lalu. Walau kini berdua. Masih berkisah mengejar masa sentiasa terisi.
Meriah hati sanubari walaupun penat. Sedari pulang dari Melbourne. Su menahan sakit arthritis lutut dan tangan. Pun begitu pabila penat pergi sana sini dengan aktiviti itu ini. Terlupa pada denyutan sakit ini itu. Terlupa pada sesekali singgahan menghembus lalu. Masa sentiasa terisi namun tenang bukan bersituasi berlari. Sentosa sanubari.
Semalam seharian sedari malam semalam. Pindahkan segala fail dan gambar dari laptop biru. Malam tadi. Rasmi beri Suraya guna laptop biru itu. Pun begitu masih tersimpan segala fail dan koleksi gambar kita beribu-ribu dalam laptop itu. Suraya cadangkan nama Sue sebagai user laptop itu. Ha ah kan. Kita sama-sama Su. Bagi nama Sue kuasa dua lah. Sebelum ini Su guna nama penuh kita sebagai nama user.
Masa beri nama Suraya dulu. Tidaklah pula terfikir nanti akan ada dua Su dalam rumah. Biasalah dulu bila kita menjawab panggilan telefon rumah. Bila menjawap pertanyaan Su ada? Jawapan kita bergurau. Su mana satu? Ada dua Su dalam rumah. Kalau soalannya berbunyi Siti ada? Lagilah. Siti mana satu? Ada tiga Siti dalam rumah ni.
Bila pindahkan semua fail. Jumpalah fail terperap lama tiada singgahan. Gambar-gambar lama. Semua yang lama dalam fail mengingatkan kepada zaman dulu-dulu dunia internet selepas berpuluhan tahun hanya dengan fail diari bukan online
Tahun ini cukup lapan tahun Su mula kenal dunia weblog ini. Tujuh tahun kalau dengan Livejournal. Ini konon-kononnya siri satu menjelang cukup tujuh tahun Rasanubari. Kalau dengan Livejournal. Sebenarnya tujuh tahun pada bulan April lepas. Hanya Su pindahkan semua entri jurnal terawal itu kepada Rasanubari pada bulan Oktober 2001. Akaun sebelum itu. Tercatat sebahagian dari nama sebenar.
Tahun 2000. Su mula menulis diari secara online. Bersusun akaun dengan entah apa-apa hos sampai Su pun lupa nama. Satu diari ini. Sampai kini Su lupa nama akaun dan apa nama hos diari itu. Su guna layout berlatar samar-samar krim kelabu terbayang gambar Paramitha Rusady artis seberang. Kenapa artis ini? Tahun 1999 rumah di Kajang. Su peminat satu sinetron seberang lakonan pelakon ini. Kalau tidak silap nama sinetron itu. Jangan Rebut Suamiku. Su kini berusaha cuba ingat apa nama hos blog itu. Mahu gali pindahkan simpanan arkib dalam blog terawal kita itu.
Juga mahu cuba ingat nama satu blog terawal Su dengan Excite kalau tidak silap. Blog lebih mirip kepada diari. Hanya ingat warna layout. Warna kuning. Zaman itu kita aktif menggunakan servis Excite. Kebanyakan sahabat internet terawal dari seluruh dunia. Selepas Su daftar nama dalam senarai sahabat Excite.
Itu tahun 1999. Tahun baru pindah Bandar Baru Bangi dari Kajang. Su daftar nama dalam satu kelab sahabat semua wanita berumur berpangkal angka tiga puluh ke atas. Masa itu. Antara keterujaan buka inbox emel. Melihat siapa-siapa hantar emel atau balas emel. Kini bab rajin menulis emel ini mula berkategori satu kenangan silam.
Juga rajinlah zaman itu berYahoo! Messenger dengan sahabat-sahabat dari merata dunia. Kini Yahoo! Messenger hanya menjengah buka sekali dalam entah berapa bulan. Sahabat-sahabat ini juga rajin kirim hadiah terutamanya mereka dari USA dan England. Mereka ini lebih gemar menulis surat biasa. Dunia internet hanya sebagai satu cara mencari sahabat penpal baru buat dihubungi secara snail mail atau kiriman surat menyurat tradisional secara pos.
Juga Su perasan. Sebahagian dari mereka ini menggunakan saluran bersahabat maya ini dalam usaha mendakyah ugama mereka secara halus. Pendirian Su masa itu. Engkau sampaikan ugama engkau. Aku sampaikan ugama aku.
Entri pertama Livejournal bukan akaun Rasanubari. Entri berkisah Su terima bungkusan besar dari Wichita, USA. Kiriman kopi segar berbagai perisa dalam sachet-sachet kecil comel. Juga satu buku masakan coklat Hershey.
Su mula kurang bab menulis emel ke serata dunia ini bila mula aktif dengan dunia blog. Kurang masa buat membalas emel. Kini hanya menghubungi beberapa orang sahaja dari mereka ini. Salah seorang dari mereka ini. Sahabat dari Malaysia berkenal dengan Su sebelum Su kenal dunia blog lagi. Kami masih berhubung walaupun belum pernah jumpa.
Kemudiannya Su buka akaun Pitas, My Diary, Diary X, Xanga, Blogspot. Entah apalah lagi. Blogspot masa itu bukanlah seperti Blogspot hari ini. Blogspot masa itu. Kita terkial-kial kalau mahu ubah layout. Hari ini pilih saja dari beberapa layout tersedia ada.
Kini Su pun lupa nama blog-blog terawal kita itu. Kini Su hanya simpan akaun My-Diary, Pitas dan Xanga. Simpan buat kenangan semua arkib menggamit nostalgia tahun-tahun awal berdunia blog. Kini Su hanya masih sesekali aktif mengupdate entri blog My-Diary. Semuanya cerita dalam mod private.
Diary X, entah apa lagi. Semuanya hilang ghaib kerana terlupa bukan saja kata laluan atau password, malah boleh terlupa langsung apa nama akaun.
Tahun 2001. Baru berkenal dengan Diaryland dan beberapa lagi hos blog Su pun lupa nama. Kemudiannya terjumpa Livejournal sesaorang yang masih Su baca blog dia ini sampai hari ini. Sesaorang baru pulang dari negara kiwi.
Selepas itu sejarah. Terlekat dengan Livejournal sampai hari ini. Livejournalier pertama Su baca itu sudah bertukar rumah lebih dari sekali. Rasanubari masih di sini. Sudah lapan tahun menulis blog. Tujuh tahun dengan Rasanubari. Antara sebab awal itu boleh terlekat dengan Livejournal. Konsep boleh baca entri terkini semua friends hanya dengan melawat page Livejournal friends.
Kini Su aktifkan kembali lebih dari satu akaun Blogspot tetapi hanya buat ahli keluarga. Wordpress pula hanya buat diri sendiri. Begitu juga dengan Vox. Vox hanya buat simpan gambar dalam mod private. Apa pun hanya Rasanubari ini sentiasa berupdate.
Kenapa boleh terus kekal dengan Rasanubari? Mungkin antara sebabnya adalah kerana hubungan terjalin sedia lama dengan pembaca-pembaca terawal sedari tahun 2001 dulu. Prinsip berkawan Su dalam dunia internet bagaikan seumpama cerita selalu di luar sana. Sedikit antara terpilih namun berkekalan setia lama.
Jalinan rasa pencatat cerita setulus sanubari dengan penelusuri. Mata memandang baca. Mata membaca bertempias rasa. Jengahan rasa menempias basah kembali kepada hati merakam tinta. Waima sebenarnya apa tertinta nota hanyalah selayangan halus dari keseluruhan melodi penuh lagu cerita. Walau apa alasan. Sebenarnya sebermula cerita mula berdunia blog ini. Pelampiasan keterujaan selepas baru tahu ini satu cara baru mencatat rakam cerita sehari-hari tanpa menulis pada buku diari.
Sambung cerita dunia blog ini kemudian entah bila nanti.
Tetamu Rasanubari