![](http://farm3.static.flickr.com/2295/2259224527_ea4ee1ee39.jpg)
Kembang setaman merah jambu Fraser Hill Originally uploaded by
Ssuriha Masih kisahan petang hari Jumaat 8 Februari bulan baru tahun baru. Februari tahun baru Gregorian. Tahun baru Islam sudah bulan Safar. Tahun baru Cina Tahun Tikus.
Sebermula cerita Su berminat belajar dan baca tentang tahun horoskop Cina sedari umur belasan tahun. Sekadar belajar tahu tentang personaliti bukan dari segi tenungan nasib. Sekadar buat mengenali serba sedikit feel dan personaliti sekian-sekian orang dengan tahun sekian-sekian. Lalu kalau orang mahu sembunyikan umur tetapi menyebut tahun Cina orang berkenaan, selalunya segera boleh tahu berapa sebenarnya umur orang yang demikian. Tahun sekian-sekian serba sedikit membayangkan karakter empunya diri.
Beberapa tahun lalu tertonton segmen bicara bual dengan seorang personaliti ini di kaca tv. Segmen chat show tempatan. Siaran tv secara langsung. Personaliti ini ditanya umur. Rahsia kata personaliti ini. Seorang pelakon dan penyanyi wanita berstatus ibu tunggal. Kemudian dihujung rancangan. Beliau ini berbangga beritahu beliau kelahiran 14 Februari tahun kuda. Kita tersenyum sendiri kerana segera tahu beliau ini lahir tahun 1978. Kalau beliau ini lahir awal bulan Januari tahun kuda. Beliau ini kelahiran tahun 1977. Tahun baru Cina selalunya bermula pada bulan Februari atau hujung Januari.
Malam tadi. Membawa sampai pagi. Fikir memikir menimbang fikir samada Idris patut terima tawaran sekolah berasrama di utara itu. Timbang fikir itu ini. Idris pun kelihatannya bersemangat mahu pergi. Lalu pagi ini tawakal berkeputusan terima saja tawaran itu. Pengalaman bersekolah dengan asrama buat putera hati sebelum melangkah dunia IPT. Sementelah sekolahnya masih berlokasi boleh pulang hari kalau kami mahu melawat selalu. Lalu bermula hari ini. Bermulalah operasi membeli persediaan barang-barang buat dibawa ke sekolah baru.
Lalu InsyaAllah bakal bercatatan rekod pertama keluarga. Pertama kali kami memohon sekolah kategori ini buat anakanda. Hanya tiga pelajar dari sekolah Idris terima tawaran sekolah utara ini. Ramai terpilih pergi Pengkalan Chepa dan Kuala Kubu Baru. Hanya dua pergi Jasin. Lebih berharap Idris terima tawaran sekolah berhampiran Selangor. Boleh kami ziarah setiap hujung minggu. Apa pun kata Su pada Idris. Memana tempat mengikut ketentuan Ilahi itu mesti tersembunyi hikmah belum terlihat pada pandangan mata. Redha pada ketentuan, berusaha dengan suratan, beriringan doa dan tawakal.
Petang lewat pukul lima. Pergi Kuala Lumpur bersama Safura dan Idris. Suraya tiba-tiba demam. Demam sepulang malam tadi dari Jalan 11 ditemani Idris. Muntah-muntah. Bila Suraya demam. Kita yang baru beransur sembuh dari demam mulai berjangkit demam. Pun begitu tetap petang ini mahu keluar. Kata Safura. Kan Mak sakit. Nak keluar juga?
Bukan apa. Selagi masih sebenarnya sihat belum perlu berbaringan sakit. Perlu keluar beli itu ini sebelum kami ke utara hujung minggu hadapan. Prinsip Su masa kini. Selagi sihat. Bereskan itu ini selagi belum benar-benar sakit.
Sebermula perjalanan dari bandar kediaman melepasi plaza tol. Baru hari kedua cuti raya Cina. Boleh tahan sibuknya lebuh raya dengan kenderaan. Komen kita. Gamaknya ramai keluar rumah selepas Asar. Semakin ramai nanti selepas Maghrib.
Kala kereta susur Sungai Besi. Masih belum berkeputusan mahu kemana. Sudahnya pergi Sogo kerana mahu beli sepatu kulit hitam buat Idris.
Selalunya bila berkereta. Pilihan stesen radio ikut pilihan pemandu. Safura memandu. Lalu terpaksaah telinga dengar stesen radio pilihan selalu Safura. Stesen orang muda. Kata Safura. Stesen ini hanya memainkan lagu tempatan. Jadi tak de lah lagu Indo? Jawab Safura. Ha ah.. Tak ada lagu Indon. Pesan kita. Jangan sebut Indon. Diaorang tak suka. Sebut Indo. Kebelakangan ini kita perasan satu radio tempatan kegemaran anakanda kami semakin kurang memainkan lagu dari seberang. Jangan nanti sekadar mendengar lagu pun dicerca sebagai pencuri atau maling.
Pun begitu setahu kita. Rata-rata orang Malaysia menyebut kata Indon itu tanpa niat merendah-rendah mertabat dan yang seumpamanya. Misalnya ungkapan cerita berdialog hensemnya Mamat Indon itu dan yang seumpama dengannya. Bukan seperti mereka senang-senang memaling Malaysia dengan niat menghina mencerca.
Antara sebab Cuti-Cuti Indonesia 2007 kurang meriah hati. Tercalar hati kerana pada hari pertama sampai Bandung. Malamnya tertonton satu forum di kaca tv sana dengan fokus cerita Malingsia. Bayangkan mereka mencerca dengan terang-terang besar tercatat tulis perkataan menghina itu. Ulang tayang visual ucapan Sukarno berapi-api berucap bernada ganyang dan sebagainya. Visual bakar bendera dan sebagainya.
Su ketawa sendiri pada malam itu di hadapan tv kamar Holiday Inn Bandung bila seorang menteri negara seberang dalam forum tv itu meluahkan risau. Mungkin pada satu hari nanti Kalimantan itu pun mahu dirampas Malaysia. Ketawa saya. Negara besar bimbang pada kekuatan negara kecil. Kecil-kecil cili padi.
Tahun lepas Su dan Suraya pergi Melbourne Immigration Museum. Kebetulan ketika itu ada Pameran Kebaya Nyonya Malaysia di muzium itu. Dalam buku tamu. Beberapa komen dari orang seberang mencaci cerca Malaysia sebagai pencuri busana kebaya. Mahu saya menjawab tetapi tiada guna. Berbahas pada dinding tiada guna.
Mahu saya katakan pada pencerca-pencerca menghina negara saya itu. Pelajari asal usul kebaya itu. Kebaya itu berasal dari kata kaba dan abaya bahasa Arab. Pakaian sebermula Islam dibawa dari dunia Arab ke negara Cina. Muslim Cina membawa pakaian ini dengan ugama Islam mereka ke nusantara beratus-ratus tahun dahulu. Manakala batik pula berasal usul dari Sumeria dan Mesir kuno. Cina dan Jepun juga Afrika Barat, beribu tahun lebih dulu menggunakan batik sebelum seni ini sampai nusantara. Sekitar tahun 1667 sutera bermotif batik dibawa dari Cina ke nusantara dan India sampai Parsi.
Kata saya pada cahayamata. Jangan nanti bahasa Melayu kita pun dituduh bahasa curi dari sana. Kami ketawa. Baru-baru ini terbaca. Teori terkini. Melayu berasal dari Cina. Sampai Borneo. Dari Borneo pergi kepulauan seberang. Dari seberang datang Tanah Melayu. Jadi sebenarnya kita ini asal-usulnya dulu satu.
Rata-rata orang Melayu tempatan kita mengalir sedikit darah berasal-usul sana. Orang Jawa. Orang Banjar. Orang Rawa. Orang Mendailing. Orang Bugis. Orang Minang. Orang Kampar. Su sendiri ada darah Riau, Mendailing dan sedikit Bugis. Selain darah Arab dan terselit sedikit darah Cina keturunan moyang dulu-dulu. Safiyyah pula berdarah Banjar dan Jawa dari sebelah Ipoh. Banjar campur Jawa campur Dusun campur Riau campur Mendailing campur Arab campur Bugis campur itu ini entah apa lagi.
Semasa Su kecil dulu. Kalau Bonda marah. Bonda selalu mengulang kata jangan buat Bonda marah. Bonda kita mengalir darah Bugis darah melawan. Satu hari semasa Su tingkatan dua. Baca buku sejarah. Buku teks sekolah. Su bercerita tentang kaitan Bugis dan lanun. Sedari hari itu sampailah kini. Tiada lagi ungkapan berbangga berdarah Bugis itu dari Bonda. Hilang lenyap terus tiada lagi kedengaran.
Bonda ramai saudara mara berketurunan Jawa kerana Nenda perempuan kepada Bonda berkahwin dengan orang Jawa berketurunan Radin. Suami kedua selepas lari pulang ke Sumatera dari Malaysia. Bonda masih berhubung dengan saudara mara sebelah Radin ini. Mungkin satu hari nanti Su berusaha menziarahi cabang keluarga yang ini pula.
Walau apa pun pengalaman di Bandung dan Jakarta Disember lalu. Kami bertemu ramai warga sana berbudi bahasa saling hormat menghormati sesama kita. Malah termetrai persahabatan dengan orang sana baru dikenali sepanjang cuti itu. Lihat pada yang lebih ramai bukan sedikit kuah dalam kuali dari bersusun lagi kuali lain lebih besar.
Sambung kemudian cerita destinasi Sogo hari Jumaat cuti Tahun Baru Cina.
![](http://bighugelabs.com/flickr/profilewidget/randomint/000000/ffffff/51035607552@N01.jpg)
![](http://m1.nedstatbasic.net/n?id=AB8KEAd5boCnPvR272urCTFm4+NA)
![](http://c3.statcounter.com/counter.php?sc_project=405589&java=0)
Tetamu Rasanubari