Kisahan 31 Mei hari Jumaat kedua 'Cuti-Cuti Melbourne' tahun ini. Hari ketiga kelahiran ahli keluarga baru di bumi Melbourne bermusim luruh sederhana dingin melambai datang musim winter benua selatan. Jumaat pertama buat Nuha berumur tiga hari.
Seperti biasa setiap pagi selepas solat Subuh sebelum pukul enam pagi. Tutup lampu kamar. Renggangkan bidai tingkap berlangsir kain renda berwarna putih krim. Santai rehat mengadap laptop di atas meja komputer. Kemas-kini koleksi gambar album Picasa. Mengarang catatan diari dalam fail dokumen. Sesekali mata memandang keluar tingkap. Beginilah aktiviti pagi seorang diri senyap sunyi kamar sampai bising rumah sekitar pukul 10 pagi. Selalunya di Melbourne ini Su bersarapan pagi sekitar pukul 10 atau 11 pagi.
Awal pagi ini. Pandangan luar tingkap kamar tidur berbeza dari pandangan seminggu sebelum ini. Pandangan basah laman selepas hujan awal pagi. Redup dingin pandangan. Basah laman. Basah pepohon. Mendung kelabu langit pagi autumn sekitar pukul tujuh belum berkelibat terang matahari.
Malam tadi kurang perasan samada hujan turun larut malam. Tidur awal kerana penat. Bertambah penat selepas berperistiwa teruja sehari dua sebelum ini. Teruja menyambut kedatangan dua lagi cahayamata dari Malaysia. Teruja syukur dengan kelahiran Nuha.
Seperti malam-malam selepas sampai dua lagi cahayamata. Malam tadi tidur di katil sofa atau sofa bed di ruang tamu berdua dengan putera mahkota. Leganya badan bila tiada lagi sakit-sakit belakang bila berbaringan di tilam katil sofa keras tilam. Santai di kamar tidur tetamu senyap sepi selepas solat Subuh. Masa-masa mengadap laptop dan pandang-memandang keluar tingkap selepas subuh. Sementara menunggu waktu solat sunat pagi. Sementara menunggu meriah pagi.
Lewat petang semalam selepas berlabuh waktu Maghrib kiranya sudah awal malam. Segerombolan kawan-kawan Khadijah menziarahi ibu dan bayi baru lahir. Kawan-kawan dari bandaraya Melbourne. Hanya lebih kurang kurang tiga jam sepulang ibu dan bayi dari hospital. Sebagaimana pengalaman Su dulu-dulu selepas melahirkan cahayamata.
Sepulangnya kami dari hospital selepas kelahiran Safura di Kota Kinabalu. Belum pun sampai kamar utama. Rosmiati sekeluarga datang berziarah. Hadiah sehelai kain sarung Indonesia buat Su. Meehoon Goreng buat kami sekeluarga. Rumah Rosmiati hanya selang beberapa pintu dari rumah kami ketika itu di Reservoir Garden. Rumah Reservoir Garden berdekatan dengan kampus tempat kerja suami musim itu.
Itu hanyalah lawatan kurang rasmi buat hari pertama pulang. Selang beberapa hari kemudiannya Rosmiati berziarah lagi. Kali ini dengan hadiah sepasang pakaian buat Safura. Kala itu kami berdua keraplah saling menziarahi. Anak-anak pula keraplah saling berulang datang bermain di rumah. Rumah-rumah kediaman kami dulu di Kota Kinabalu selalunya rumah-rumah berdekatan dengan rumah-rumah sahabat karib.
Pernah terfikir sendiri seakan mencatat buat kenangan namun hanya di dalam kepala. Antara semua bandar-bandar di Malaysia pernah Su singgah bermukim. Kota Kinabalu paling merakamkan kenangan rumah-rumah meriah hati.
Kembali kepada kisahan bersanggar Monash suburb Melbourne. Hari Jumaat hujung bulan Mei. Hujung autumn menyambut kedatangan winter benua selatan.
Hari ini bermasakan Sup Ayam lagi. Sup Ayam Melbourne bercampuran ketulan-ketulan kecil kentang. Sayur Sawi Tumis Air. Telur Goreng Dadar buat kami bukan berpantang.
Selepas Su melahirkan tiga orang puteri di Kota Kinabalu. Selepas kelahiran dua puteri selepas puteri sulung. Selain hidangan Sup Ayam disepanjang masa berpantang. Juga selalu berhidangan Sup Kaki Ayam. Kaki Ayam direbus reneh dengan ketulan-ketulan besar halia dan rempah-rempah lain. Sup Ayam bagus buat melancar perjalanan darah selepas melahirkan bayi. Ini buat Su yang berkesihatan bermasalah darah. Ada orang tidak makan sup-sup selepas bersalin kerana berair. Bagaimanapun lain orang lain cara. Mengikut badan masing-masing. Mengikut pilihan masing-masing.
Juga hari ini Su goreng ikan bilis halus kecil. Ikan bilis halus bawa dari Malaysia. Goreng kering bersama hirisan halia, bawang merah dan bawang putih. Kuali hanya berlenser dengan sedikit titisan miyak. Bersiraman gorengan ikan bilis dan halia ini dengan lada hitam kisar. Sepatutnya ikan bilis goreng kering tanpa minyak ini ditumbuk kasar dalam lesung batu dengan halia dan lada hitam. Tiada pula lesung batu di rumah pasangan anakanda. Lalu Su hidangkan versi tumis dengan hirisan bawang dan lada hitam. Juga dengan rempah-rempah memanaskan badan seperti bunga cengkih.
Su belajar masakan ikan bilis buat ibu berpantang ini dari seorang ibu kepada seorang sahabat di Aberystwyth. Ibu bercuti dari Muar ini datang melawat keluarga sahabat ini di Wales. Ibu ini menziarahi Su di Hospital Bronglais sehari selepas Su melahirkan Idris. Sebenarnya ikan bilis itu ditumbuk mentah dan dimakan mentah. Bagaimanapun Su selesa kalau ikan bilis ini digoreng sebentar tanpa minyak di dalam kuali.
Juga menurut nasihat ibu berasal dari Muar ini. Jangan sekali-sekali makan hati binatang semasa dalam pantang. Malah menurut ibu ini. Hati binatang tidak bagus buat orang bermasalah kurang darah dan sebagainya. Juga semua organ dalaman binatang.
Su ikuti petua ibu ini dari hari itu sampai kini. Pun begitu Su tetap suka makan Goreng Hati Ayam. Juga sesekali gemar makan apa-apa masakan dengan paru dan limpa. Itu masa-masa bukan berpantang selepas bersalin. Su yakin dengan kata nasihat ibu itu kerana orangnya awet muda dan kelihatan masih sihat kuat walaupun sudah berumur 70-an. Kelihatan sihat tegap badan walaupun pernah melahirkan berbelas-belas orang cahayamata.
Pesan Su pada Khadijah. Kebagusan segala pantang dan penjagaan semasa pantang hanya terlihat selepas ibu itu nanti meningkat umur. Wajah berseri-seri sampai selepas umur separuh abad. Bersih halus berseri wajah datangnya dari bersih kuat segala yang dalam. Sebagaimana bersih hati menambah seri wajah.
Juga penting penjagaan makanan kala berpantang ini buat mengawal susu badan dari apa-apa yang berangin seperti sayur kobis dan makanan berkategori dingin seperti timun dan taugeh. Mudah sebenarnya menjaga bayi menyusu badan. Hanya pastikan makanan ibu sihat buat susu badan. Kelebihan menyusu badan sepenuhnya bakal terlihat selepas bayi besar nanti. Kelebihan dan fadhilat berpanjangan.
Menurut penyelidikan pakar pernah terbaca. Bayi-bayi menyusu badan sepenuhnya lebih dari enam bulan bakal membesar menjadi anak pandai, tidak nakal, kurang melawan, mendengar kata, kurang bermasalah emosi dan rapat dengan ibu. Empat cahayamata Su membesar dengan susu badan sepenuhnya sampai cukup dua tahun.
Alhamdulillah empat cahayamata kami semuanya bayi-bayi baik menyenangkan hati. Semuanya terlalu jarang amat menangis. Sampai perlu sengaja diacah supaya menangis kalau sesekali mahu merakamkan gambar bayi menangis. Sampaikan seorang dua jiran pernah mengomen tidak tahu rumah ada bayi kecil kerana tidak pernah mendengar suara bayi menangis. Semuanya bayi mudah dibawa kemana saja. Bayi menyenangkan tanpa perlu ibu kerap berjaga malam. Kecuali puteri sulung kerap menyusu malam kerana lahir tidak cukup bulan.
Masalah buat sesekali pening kepala hanya bermula selepas anak-anak mula memasuki umur awal belasan sampai umur pertengahan belasan tahun. Fasa bermula pengaruh sekitaran di luar rumah. Fasa mulai pandai berhujah kata. Ujian buat ibu kerana hidup ini menakutkan kalau tiada langsung ujian. Ujian tanda-tanda Allah taala memerhati dengan pandangan Allah taala bersifat Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.
Juga setiap ujian mengikut keutamaan profesi dan situasi sesaorang. Pun begitu berkat doa-doa berterusan sedari bayi masih di dalam kandungan. Semua cahayamata bakal kembali kepada fitrah perangai sebenar dari rahim. Selepas melepasi umur fasa sesekali bertempias pengaruh luaran pada zaman mula bersekolah menengah rendah.
Walau apa sekali pun usaha dan perancangan mengikut fikir kepala, hanya Allah taala menentukan hasil dan berkat. Lalu doa-doa berterusan bukan sedikit pengaruh. Malah doa-doa tulus bersungguh-sungguh dan berterusan mampu mengubah taqdir. Tiada yang mustahil bila Allah taala mengizinkan.
Petang selepas Asar lewat pukul dua. Hari lebih terang seusai hujan pagi teduh sebelum tengah hari. Tiga anakanda keluar jalan-jalan ke bandar Clayton. Hanya berjalan kaki dari rumah. Pesan Su. Pulang sebelum malam. Maghrib pukul lima suku. Idris pulang lebih awal. Pulang dengan keropok crisp di tangan. Berpisah dengan dua kekanda selepas beli coklat dan crisp di kedai Coles. Dua kekanda meronda bandar Clayton.
Alhamdulillah pulang dua puteri ini selepas senja sudah malam hari tetapi masih belum masuk Isya’. Gambar paling bawah adalah rakaman dari kamera telefon bimbit puteri bongsu. Bersusun gambar-gambar dari dalam kedai dirakamkan curi-curi menggunakan telefon bimbit. Bagaimanapun gambar dinding bercontengan grafiti di Clayton itu dari kamera Su. Rakaman puteri bongsu. Contengan grafiti pada dinding bangunan adalah pandangan biasa di Melbourne ini. Gambar selepas hujan petang.
Tetamu Rasanubari