Catatan hari kelima Melbourne 25 Mei hari Jumaat. Jumaat pertama cuti-cuti Australia tahun 2007. Melbourne bulan Mei musim luruh. Alhamdulillah menghampiri seminggu percutian Melbourne kali ini. Mengira hari bertemu dua lagi cahayamata.
Mata mulai mengikut masa Australia. Bangun seawal pukul lima sebelum Subuh. Tidur hanya lena sebentar sesudah habis waktu Subuh mulai cerah hari. Mata sebenarnya masih belum berpenyesuaian sepenuhnya dengan waktu Melbourne. Subuh Melbourne baru pukul empat Malaysia. Pun sebenarnya kedinginan pagi kamar kurang panas heater buat selesa terus menyelimuti diri dalam quilt. Kedinginan amat setiap pagi selepas basah dengan wudhu'. Menggigil kerana kamar tanpa panas heater.
Bangun semula seawal pukul lapan lebih kurang pukul enam pagi Malaysia. Tutup lampu kamar. Buka bidai tingkap bertabir langsir renda berwarna krim. Santai pagi mengadap pandang keluar dari langsir tingkap mengadap pandang laman bersimpang tiga. Rutin setiap pagi sedari mula sampai Melbourne awal minggu ini.
Malam tadi selepas melambai bayi Z dan ibubapanya pulang sekitar pukul lapan malam. Menjengah perdu pohon bunga-bungaan di hadapan anjung rumah. Terpandangkan seperdu pohon bunga berwarna ungu. Sekali lagi kenyataan di hadapan mata bagaikan sebelum ini terlihat samar di dalam mimpi. Mimpi santai di anjung rumah memandang rimbunan berkumpul pepohon bunga berwarna biru dan ungu. Bunga ungu ini berkelopak kecil bersusun seperti bunga ungu di dalam mimpi. Terpegun terkesima. SubhanAllah.
Hanya Allah subhanahuwataala sajalah Yang Maha Mengetahui maksud mimpi-mimpi ini. Masih tertanya-tanya tertunggu namun berserah. Kemungkinan maksud mimpi-mimpi kini berkenyataan pandangan di hadapan mata belum tahu apa tafsir makna.
Pagi ini seperti empat pagi sebelum ini. Santai mengadap pandang laman dari tingkap kamar. Santai berehat seawal pagi. Santai seorang diri di kerusi meja komputer puteri sulung di tepi tingkap. Terpandangkan bunga mawar merah jambu di sebelah pintu utama rumah semakin mekar kembang. Mencapai kamera. Merakamkan gambar pandangan dari sisi tingkap pagi. Mencapai baju panas berwarna biru gelap. Keluar rumah. Mahu merakamkan gambar bunga-bungaan di laman rumah. Naza sedang seterika baju di ruang tamu. Kala Su buka pintu rumah mengadap pandang rimbun pepohon bunga.
Melangkah kaki keluar dari pintu. Pawana dingin pagi autumn menghembus pukul pipi. Namun pawana dingin segar nyaman kurang mencengkam dingin. Bukan sedingin autum Wales. Autumn Aberystwyth mendingin sampai tulang hitam. Namun istimewa mesra pada sanubari sebati dengan dingin beraroma Wales segar bertempias bayu laut dan gunung itu. Pun begitu cuaca Melbourne hari ini lebih bagus. Terang benderang pagi. Su keluar rumah sekadar menyarung baju panas pada kaftan berlengan panjang bernatar warna hitam berbunga biru dan merah. Kaftan baru beli sehari sebelum terbang.
Terpana terpesona dengan bunga-bunga mawar kembang pagi. Semakin terpana pabila mengharumi harum wangi bunga mawar merah jambu. Mengharumi berkali-kali berlagu syukur pada Ilahi dengan rahmat ini. Berkata sendiri. Hmm wanginya.. Bagaikan mahu terus santai duduk-duduk di bawah perdu pokok bunga mawar atau bunga ros sebesar mangkuk gulai ini. Sekali lagi. Semuanya bagaikan di dalam mimpi-mimpi lalu itu.
Juga merakamkan gambar pokok buah lemon. Merakamkan gambar laman pagi ini cerah hari bersuhu bagus sekitar 21 Celcius. Pun sudah faham sedia tahu. Cuaca Melbourne kurang menentu. Sebagaimana tahun lepas. Hari-hari musim winter pun masih boleh berterang benderang matahari. Tercipta kenangan tahun lepas kami berkelah santai di pantai laut pada hari winter terang benderang. Juga berkelah di laman Werribee Open Zoo pada satu tengah hari musim winter berterang cerah hari.
Bersenang hati merakamkan sana sini gambar pesona laman dan kawasan persekitaran rumah berpandangan pangkal lorong. Merakamkan lagi rendang pohon lemon mengadap rumah wanita warga emas berketurunan Itali itu. Terfikir sendiri. Manalah auntie Itali ini. Boleh bertegur sapa. Menurut Khadijah kemudiannya. Auntie ini selalu keluar rumah awal pagi selepas subuh. Menolak tong sampah sudah kosong diangkut sampah dari pangkal lorong laman. Mengemasi laman.
Masuk ke rumah selepas lebih kurang setengah jam di laman. Naza masih berurusan seterika baju. Lega puas seusai merakamkan gambar pesona pagi laman. Pun begitu selepas kembali memasuki rumah. Terasa dingin kaki bagaikan mahu diserang lenguh goncang-goncang.
Berbual-bual tentang mimpi di ruang makan sejurus selesai sesi merakamkan gambar di laman. Bercerita bagaimana hampir seminggu di Melbourne ini tidur lena tanpa buaian mimpi. Kata Khadijah. Mungkin lantaran sudah puas sebelum datang dulu bermimpikan pandangan laman rumah ini.
Tetamu Rasanubari