Hari kelima demam berbunga segar harapan sesegar sentosa embun pagi

May 12, 2007 23:55




Alhamdulillah pagi ini bangun dengan semangat dan rasa baru sedari hari mula demam. Lebih berupaya dan sedikit lebih kuat dari hari-hari sebelum ini. Tanpa perlu berpapah bangun. Tanpa perlu berpaut tangan pada tepi katil atau sofa bila mahu bangun. Bangun pagi dengan perasaan istimewa tersendiri. Pagi segar nan tenteram terasa istimewa hari. Pagi hari bersemangat nyaman walaupun masih berselimut hujung demam.

Tenang kelibat awal pagi dari jendela kamar mandi terasa bagaikan membawa sinar baru. Istimewa perasaan kerana rasa lebih kuat dari semalam sesungguhnya hanya dengan izin Allah subhanahuwataala. Terasa istimewa harmoni pagi ini berlainan sekali dari hari-hari sebelum ini. Hari-hari awalan bulan Mei penuh dengan melodrama dan peristiwa terkesan pada sanubari mungkin bawa sampai mati.

Pun begitu masih terasa lemah badan berkesihatan demam. Berbaringan selepas zikir pagi. Masih bersengal lenguh berbisa di sana sini walaupun semakin bagus kesihatan dari semalam. Sedari malam tadi bermula penggunaan sejadah dari Mekah hadiah dari Akmal sahabat karib Idris. Lawa sejadah berwarna krim emas dan merah hati ini.

Juga sekilas teringat kala melipat sejadah comel ini selepas solat Subuh. Bagusnya bila kita menghadiahkan dengan sesuatu yang mampu membungakan saham-saham pahala berterusan walaupun selepas kita meninggal dunia.

Malam tadi barulah terasa kuat kaki buat menjengah sana sini. Menjengah kamar putera mahkota. Idris beransur sihat dari demam kelihatan jendera tidur. Pasangkan pendingin udara. Sebelum itu kejutkan Idris. Menanyakan Idris kalau okay ibu hidupkan penyaman udara. Rapatkan tingkap kamar. Buku baru hadiah dari ibu di sebelah Idris. Mungkin Idris terlena ketika baca buku ini. Buku beli dari Pesta Buku KL 2007. Buku motivasi Jangan Melampaui Batas. Sebelum itu Idris baru selesai baca buku 40 Sebab Masuk Syurga.

Berkemas serba sedikit kamar putera hati. Seminggu kamar ini tidak menerima sentuhan kemasan tangan ibu. Lewat pukul 12 malam tadi. Boleh tahan lintang pukang meja tulis dengan bersepah itu ini. Selalunya ibu mengemaskan meja tulis. Pun begitu Idris boleh diharap mengemas kamar sendiri kalau Idris tidak demam.

Berhenti mengemas bila teringat yang kita ini sebenarnya masih demam. Jangan terlalu cepat memberatkan kesihatan. Jangan sampai demam kembali seperti semula. Hanya seminggu saja lagi. Bersabar dulu. Pulihkan dulu tenaga sebelum berhabisan berkemas.




Tetamu Rasanubari

sentosa, saturday, demam, perpustakaan, flickr, morning, tranquil, buku, doa, harapan, malam, 12haribulan, singgahsana, beautiful

Previous post Next post
Up