Pagi 9 Disember hari Sabtu menelefon telefon bimbit suami saudara sepupu. Menelefon pagi kerana hari ini hari cuti kerja. Menelefon selepas mengemas pagi kamar tidur utama. Menelefon di hadapan tv. Tv bersiaran Selamat Pagi.
" Assalamualaikum. Ni Syafiqah ye? Ayah ada? "
Syafiqah anakanda sulung sepupu. Baru lepas PMR tahun 2006. Mudah ingat nama anakanda ini kerana sedikit mirip nama seorang anakanda kami. Telefon terputus kala belum sempat suami sepupu menjawab panggilan. Baru mahu menelefon lagi. Panggilan dari sana. Panggilan dari suami sepupu.
" Ni Kak M ni. Kak M baru tahu AN sakit. Petang karang Kak M ingat nak pergi rumah Wan. AN sakit apa? Kami pergi petang-petang sikit. Nanti Kak M telefonlah kalau kami pergi. "
Makan tengah hari berlauk masakan Safura. Ayam Masak Sambal. Pulang suami masak Kobis Tumis Air Campur Telur. Su sudah habis makan kala suami sedang menumis sayur.
Mencatat tulis kobis mengingatkan kepada satu e-mel berantai terkini tentang kobis. Komen kita selepas baca. Komen bercerita pada ahli keluarga. Kita makan kobis sedari kecil. Sayur kegemaran. Kiranya berpuluh tahun makan sayur kobis. Langsung tiada walaupun sedikit gejala-gejala yang disebut di dalam e-mel tersebut. Macam-macam.
Beransur ke Bukit Mahkota selepas solat Asar. Tudung diseterika Suraya. Semuanya tidak mahu ikut. Safura berkurung di kamar. Suraya belum pasti mahu ikut. Mahu mandi dulu kalau mahu ikut. Malas menunggu.
Idris berlatihan main bola. Menjelang perlawanan bola sepak liga kelab-kelab umur bawah 15 tahun esok petang. Idris juga kini diwajibkan ibu mentelaah mengulang semula semua pelajaran tingkatan 1 dan tingkatan 2. Tahun 2007 Idris bakal menduduki peperiksaan PMR. Bersungguh-sungguh belajar mulai dari sekarang kalau mahu belajar ke England. Atau mana-mana destinasi keluar negara. Mentelaah sekurang-kurangnya satu setengah jam satu hari. Lebih bagus kalau lebih lama dari itu. Biasanya pilihan jalan kurang lari dari azam dan usaha bersulam doa.
Sebelum itu menanyakan pandangan Idris. Mana satu lebih bagus. Ibu pakai tudung warna hitam atau tudung warna biru. Idris berjawapan tudung hitam kerana terbiasa melihat ibu bertudung hitam. Mungkin berjawapan tudung biru kalau menanya dua puteri. Tudung biru Suraya jahit dimalam raya. Memilih tudung hitam berjubah kegemaran masa kini. Jubah berbunga warna beige selesa dipakai. Jubah hari raya.
Beransur berdua dari rumah pukul 5 petang sepulang suami dari surau solat Asar. Sampai Bukit Mahkota pukul 5.10 hanya sepuluh minit memandu dari rumah. Berpusing meronda mencari rumah sampai pukul 5.35 petang. Lagi lama mencari dari lama masa memandu dari rumah. Sebelum itu SMS suami sepupu. Beritahu kami beransur dari rumah.
Gambar tertera dirakamkan pada hari raya pertama 24 Oktober 2006. Papan tanda NASA beberapa meter sebelum simpang ke Bukit Mahkota. Petang ini Su menoleh pandang pada papan tanda ini. Papan tanda mengingatkan kepada Naza di Melbourne sana. Sebelah kiri jalan ini. Belum berapa jauh dari papan tanda NASA ini. Papan tanda universiti nombor satu Malaysia. Papan tanda universiti perdana di Bangi. Universiti tempat kerja suami.
Biasanya rumah baru beli mestilah berlebih-lebih bagus lagi dari rumah lama. Rumah lama Roha di Kuala Lumpur dulu rumah teres lot korner. Berkeyakinan rumah baru Roha ini samada rumah berkembar dua tingkat atau rumah banglo. Seboleh-bolehnya Su malaslah menelefon menanyakan jalan. Biasanya nanti akan ada yang berbesar hati berkereta keluar menjemput di pangkal jalan. Kurang selesa menyusahkan tuan rumah.
Sudahnya kami menanyakan tiga lelaki Indonesia sedang berjalan menuruni jalan berbukit. Kemungkinan mereka ini buruh binaan perumahan ini. Seorang dari mereka ini membahasakan suami kita dengan panggilan pakcik. Mereka bertiga ini berumur lebih kurang pertengahan 30-an. Mungkin pada sesetengah warga Indonesia di negara ini. Pakcik itu sama dengan panggilan Bapak di Indonesia sana. Makcik itu sama dengan panggilan Ibu di Indonesia. Bapak dan Ibu di Indonesia sana adalah panggilan hormat bukan kerana umur.
Pernahlah di hadapan mata. Seorang pekerja lelaki warga Indonesia berumur lebih kurang lewat 30-an membahasakan mak cik pada ibu muda baru berumur awal 20-an. Ibu muda ini mendukung bayi. Peristiwa di restoran sate di Bandar Baru Bangi. Lebih dari sekali pandangan seperti ini.
Beritahu lelaki Indonesia ini. " Terus atas sana. Nanti jumpa simpang tiga. Ada tulis Jalan ** "
Alhamdulillah sudahnya jumpa jalan dicari. Sudah lalu awal-awal tadi pada tawaf kali pertama. Hanya kurang terlihat oleh mata pada papan tanda jalan ini. Sebenarnya mudah saja laluan ke jalan ini kalau tahu kedudukan rumah ini. Belum ramai pembeli rumah mendiami perumahan baru seksyen rumah Roha ini. Beberapa orang kawan-kawan warga universiti beli rumah di perumahan baru ini. Kita lebih mengintai perumahan baru mengadap danau cempaka. Atau memana perumahan baru di Bandar Baru Bangi. Hati sudah melekat pada bandar berlaman bunga cempaka putih ini.
Dari jauh kelihatan kereta warna coklat muda saudara sepupu. Anak-anak saudara bermain di laman rumah. Rumah di atas tanah lebih tinggi dari jalan. Benarlah seperti jangkaan kita. Rumah baru Roha ini rumah banglo. Berderet rumah masih kosong belum ditempati. Lawa tersergam berseri banglo baru di atas bukit. Banglo berwarna jingga muda.
Alhamdulillah sampai rumah Roha kali kedua dalam tahun 2006 ini. Kali pertamanya pada hari raya Aidlladha bulan Januari lalu. Waktu itu Roha sekeluarga masih berkediaman di Lembah Keramat. Berjiran dengan Shimah dan Hasnah.
Menunggu sekejap Roha dan AN sedang solat Asar. Terlihatkan beg sandang sama serupa dengan beg sandang Su. Beg kulit berwarna hitam jenama G. Beg dipegang puteri ketiga Roha. Su mendekati. Melihat lebih rapat lagi beg Roha ini.
" Eh sama beg? " Senyum kaget berlagu setuju puteri-puteri saudara berusia gadis sunti.
Setiap kali bertemu berperistiwa kita menanyakan semula nama-nama. Anakanda-anakanda saudara semakin remaja. Semakin berubah wajah. Setiap kali bertemu semuanya semakin tinggi melampai. Cucunda-cucunda Arwah Mak Long. Lebih ramai puteri dari putera. Petang ini berkumpul lebih ramai para puteri. Hanya tiga putera antara ramai puteri. Ilham. Izzudin. Amin. Amin putera tunggal Roha selepas empat orang puteri.
Selepas melangkah susur lalu gerbang pagar kala kami berdua baru sampai tadi. Semua anakanda-anakanda saudara ini keluar bersalam mencium tangan. Kita menanyakan. Ini anak siapa. Itu anak siapa. Berjawapan buat tersenyum sendiri dalam hati. Anak Norizan. Anak AN.. Semuanya seakan sama serupa. Wajah-wajah cucunda-cucunda Arwah Mak Long kekanda kepada Bonda.
Pertanyaan spontan Ilham anak kedua AN kala bersalam dengan kita. Mana Idris. Ilham semakin tinggi lampai walhal muda setahun dari Idris. Izzudin adinda kepada Ilham. Baru darjah satu.
" Ada latihan bola. Esok ada lawan liga kelab-kelab bola bawah 15 Bandar Baru Bangi. "
Berbual santai dengan Roha sebenarnya baru pulang kerja. Kerja hari Sabtu. Menanyakan bila Roha mula berpindah ke Bukit Mahkota ini. Berpindah sedari bulan Ogos lagi.
" Oh. Bulan puasa kat sini lah. Roha beraya kat Jepun. Roha ikut kursus ke? "
" Roha pergi seminggu. Ada conference. Pergi Kyoto. Bandar sejarah Jepun. "
Su senyum beritahu. " Beg kita sama. Sebiji serupa. Boleh pula sama tu.. "
" Masa nak pergi Jepun dulu Roha cari beg besar. Nak isi kamera semua. "
Pembantu rumah menghidang minuman petang. Kuih Karipap dan gorengan sukun panas-panas. Su menanyakan itu siapa. Pembantu rumah dari Acheh berumur sekitar 50-an. Berserkup kepala warna hitam.
" Kak Fauziah kecil hati kami tak balik kenduri kahwin. Ni tak boleh tinggal AN sakit.. "
" Anak Kak Fauziah yang mana satu kahwin? Oh Nasrul tu. Dia kerja kat mana? "
" Johan pergi kenduri kahwin anak Laili kat rumah Mak Ngah. Kebetulan Rozi ada kursus kat Taiping. Kami tak pergi. Abang Ar masa tu pergi Sabah. Masuk hutan. "
Kenduri perkahwinan puteri sulung saudara sepupu di rumah ibu saudara di Taiping. Seminggu kemudiannya kenduri perkahwinan putera sulung saudara sepupu yang lain. Kenduri pada 26 November dan 3 Disember.
Bercerita itulah kepulangan Johan pertama kali ke Taiping selepas hadir kenduri kahwin Kak Fauziah ketika Johan baru bersekolah menengah. Ti pula pernah sekali ke Taiping selepas kelahiran Taza. Memperkenalkan Muzaffar pada kaum kerabat di Taiping dan Lenggong. Itulah kali terakhir Ti ke Taiping. Taza hari ini sudah pun berumur 18 tahun. Su pula selepas kebelakangan ini kerap ke Taiping, mulai beransur kurang sedih. Sebagaimana kata Roha. Tempat tu sebenarnya tak salah. Bagaimanapun masih sebu kalau lalu bandar kami hidup bertiga saudara masa kecil.
Mula-mula memandang langit biru Taiping pada awal tahun 80-an dulu memang sedih pilu pedih. Kami meninggalkan Taiping ketika Su berumur 12 tahun. Kini beransur hilang semua pedih sedih. Setiap kali ke Taiping lebih menggamit segala memori manis masa kecil. Walaupun sebenarnya tetap terpendam intai rasa sedih.
Hanya satu hasrat Su belum tercapai walau kerap kini berulang lalu dan pergi Taiping. Hasrat mahu bertemu keluarga Nyonya dan Ah Yong. Rumah lama Nyonya kini sudah berganti perumahan baru. Malah sudah bagaikan bandar satelit Taiping. Berkira-kira juga mungkin satu hari nanti Su mahu minta bantuan satu biro pengaduan MCA yang popular itu. Minta bantuan mencari keluarga Nyonya di Taiping. Keluarga Nyonya semakin selalu dirindu.
Bersama Roha menjengah jumpa AN di kamar tidur hanya bersebelahan dengan ruang tamu. Saling menanya khabar. Berbual bercerita itu ini. Berbual bertiga saudara santai di atas katil di tepi tingkap. Sesekali mata Su terpandangkan pandangan banglo sebelah dari tingkap kamar berbidai comel.
Sebelum itu sebelum ke kamar. Terlihatkan beg hitam Roha di atas kabinet rendah di luar pintu kamar. Menegur lagi. Sama serupa beg kami. Sama citarasa kita ye.
AN menanyakan Su apa itu penyakit Talasemia. Roha menegur sebagaimana ramai selalu menegur. Wajah kita merah bukan pucat sebagaimana kebiasaannya selalu pesakit ini. Ramai kaget kerana wajah Su bukanlah wajah orang sakit. Kaget mereka yang pertama kali tahu kita kurang sihat. Kelihatan kuat bertenaga walaupun bukanlah tangkas.
Berkeyakinan ini lebih kerana semangat dan zikir-zikir menguat hati dan badan. Sampaikan keluarga pun selalu terlupa yang kita ini sebenarnya bukannya kuat. Tasbih Fatimah amalan selalu. Bersalawat atas Nabi selalu.
Tenang dan redha selalu. Serta perlu pandai mengawal penggunaan tenaga. Usah beratkan fikiran dan runsing kurang bertempat. Kini Su lebih bersikap santai. Kurang melayan remeh temeh bakal mengusut fikiran dan rasa. Menghayati apa-apa yang menyenangkan hati. Hobi menghibur hati. Membaca dan mentelaah. Zikir makanan rohani.
Seboleh-bolehnya kurangkan dosa-dosa kecil dan dosa hati. Hidup lebih sentosa bahagia bila lebih berlapang hati. Hati bersih tenang sanubari. Senantiasa berbagus sangka sesama manusia. Berusaha kutip saham akhirat selagi termampu. Berazam selalu bertaubat dari memana dosa tanpa sedar. Ingat Allah taala sentiasa. Ingat dan insaf selalu hakikat diri. Hakikat kehidupan di dunia serba fana ini. Hakikat kehidupan sebagai hamba Allah taala.
Rasa sanubari bermusim lagu. Alhamdulillah tahun 2006 ini lebih sentosa hati dan rasa berbanding dengan 2005 lebih menekan. Melodi tekanan berlagu tinggi turun bersilih ganti. Namun melodi kehidupan memang sebegitu. Setiap kita hamba Allah taala berujian mengikut kemampuan tersendiri.
Roha menanyakan kalau-kalau keturunan kami memang ada darah campuran Cina.
" Rasa-rasanya lah. Kita ramai muka Cina. Tengoklah muka Roha. Muka Makcik Enon. Kak M sendiri masa sekolah dulu ramai ingat orang Cina. Perkara biasa kadang-kadang orang Cina tegur Kak M dalam bahasa Cina. Sekarang ni pun ramai ingat Kak M yang berasal dari Sabah. Orang Sabah kan ramai macam Cina. Orang ingat Abang Ar yang Melayu. "
Berkisah beritahu bahawasanya keturunan Nenda H kami berdarah campuran Arab dan Mendailing. Kerana itu kaum keluarga kami ramai tinggi-tinggi. Komen Roha senyum. Roha je yang kecik ni.
Juga Su beritahu terjumpa gambar cucunda Kak Fauziah dalam internet. Cucu perempuan Kak Fauziah ini sedikit mirip Roha. Senyumnya mirip Arwah Mak Long semasa muda. Terjumpa Fotopages keluarga anakanda saudara ini. Anakanda saudara bertugas di IPT selatan sana. Baru pulang dari England.
Keluar dari kamar berehat AN. Minum teh panas dan makan dua keping Sukun Goreng. Berbual-bual lagi dengan Roha.
Suami Roha tiba dari Taiping. Berurusan temuduga puteri kedua di MRSM Taiping. Temuduga keluar negara selepas SPM. Puteri pertama pulang hujung minggu dari kolej di Cheras.
Berkumpul kami semua di ruang tamu terpasang tv. Siaran langsung badminton Sukan Asia 2006 dari Doha. Suami Roha menanyakan mana yang lain. Ilham menanyakan samada Idris main bola bawah umur 18 tahun.
Pukul 6.45 petang. Bercadang singgah rumah kekanda sepupu sebelah Ayah di Bandar Sri Putera. Sebenarnya entah berapa kali pangkat pupu dengan Su. Masih berkerabat hubungan sedarah walaupun sebenarnya berkategori bau-bau bacang. Saudara sepupu perempuan ini dibesarkan satu rumah dengan Ayah. Sebelum Ayah merantau ke Singapura.
Menjengah sekejap AN. AN menanya dan bercerita itu ini. Berpesan telefon saja bila-bila rasa mahu meluahkan. Telefon saja bila-bila kalau mahu Su datang. Senang hati bila AN menutup bualan dengan kata nanti AN call Kak M. Mungkin AN akan menelefon sekembalinya nanti AN sekeluarga ke rumah sendiri masih sekitar Bangi ini. Sepelaung dari Putrajaya. AN sekeluarga di rumah Roha sementara AN kurang sihat ini.
Bersalam dengan Roha dan anakanda-anakanda saudara di ruang tamu serba berkilat baru. Suami sudah keluar berdiri menunggu di halaman rumah. Berbual dengan suami Roha dan suami AN di pintu pagar. Pintu pagar tinggi masih bergantungan papan iklan syarikat pengubahsuaian rumah. Suami Roha berkisah. Ni pasang gril kelmarin.
Komen Roha. " Baguslah AN mahu bercakap [bercerita] dengan Kak M. "
Beransur dari rumah Roha menjelang pukul 7 menghampiri Maghrib. Pesan suami pada suami Roha sebaya-baya kami. Pesanan kala kereta mulai meluncur perlahan. Ni dah dekat ni. Datanglah rumah.
Dari Bukit Mahkota beransur ke Bandar Sri Putera rumah saudara sepupu sebelah Ayahanda pula. Roha sepupu sebelah Bonda. Semakin ramai saudara-mara berkumpul sekitar Bangi.
![](http://bighugelabs.com/flickr/profilewidget/randomint/000000/ffffff/51035607552@N01.jpg)
![](http://flagcounter.com/count/EI2b/bg=FFFFFF/txt=000000/border=CCCCCC/columns=5/maxflags=35/viewers=3/labels=1/)
![](http://c3.statcounter.com/counter.php?sc_project=405589&java=0)
Tetamu Rasanubari