Awal malam 1 Syawal sampai Johor Bahru bersambutan senyum Diana idola ibunda

Nov 30, 2006 14:43



Sambung berkisah peristiwa sehari semalam 1 Syawal 1427 H. Dari Bandar Baru Bangi ke Johor Bahru. 24 Oktober 2006 lebih dari sebulan berlalu. Kisahan bulan Syawal dibulan Zulkaedah. Catatan tertangguh lama tersimpan.

Alhamdulillah sampai Johor Bahru ibu negeri jauhari bertanjung puteri. Negeri bermemori manis menggamit rindu indah masa lalu. Indah merdu kalbu bercinta berlatar kisah pilu sendu keluarga masa lalu. Singgahan menggamit selalu aura rasa kalbu dulu-dulu. Bagaikan baru semalam semua itu. Walhal semuanya itu sudah suku abad berlalu. Pantai bertanjung itu bagaikan masih tenang bening sentosa seperti dulu. Walaupun kini berubah lebih bising meriah. Tanah kelahiran melambai kalbu dipandang di seberang lautan selat tenang perairan.

Bersilam kisah keturunan sebelah Ayahanda beratusan tahun dulu-dulu. Kembali berulang pulang selalu bagaikan sirih pulang ke gagang. Tanah selatan berpandangan pulau negara kelahiran. Taqdir generasi kelahiran Ti berdarah negeri jauhari. Menetap terus Bonda di negeri ini selepas mengikut suami. Ayahanda tiri kami merantau bertugas di Johor Bahru. Terus menetap di Johor Bahru selepas bersara awal. Isteri kedua Ayahanda tiri berasal dari Johor Bahru.

Taqdir Ayahanda kandung kami kembali bermukim di negeri tanah asal kelahiran. Negeri asal keturunan beratus-ratus tahun lalu di utara sana. Walhal semua saudara-mara Ayahanda bermukim di ibu negara. Rantauan Nenda H ke ibu kota seawal abad lalu dari utara. Salahsilah keturunan sebelah Ayahanda. Dari Tanah Arab ke negeri bersungai panjang mengadap sultan. Bersinggahsana takhta di Sumatera. Merantau singgah Singapura sampai Johor Bahru. Bersemenda dengan saudara-mara di negeri Darul Aman. Berkehidupan rantauan baru di Kuala Lumpur. Kini kembali Ayahanda pulang ke tanah Darul Ridzuan semula. Naza kelahiran negeri Ridzuan memanjang generasi negeri asal ayah bunda.

Sayugia ini semua buat sedar insaf selalu. Setiap satu cerita kehidupan menurut ketentuan Ilahi. Semuanya berhikmah tersembunyi buat generasi pada kemudian hari. Sebagaimana dengan cerita kehidupan hari ini menempah hikmah buat generasi kemudian nanti. Setiap tempahan sejarah berhikmah tersendiri.

Alhamdulillah sampai rumah Bonda sekitar pukul 8.30 malam. Johan sekeluarga belum tiba. Wah kita sampai dulu dari Johan. Kali ini kami sampai dulu. Berbanding dengan lewatnya kami tiba pada malam 1 Syawal tahun lepas. Johan sekeluarga tahun lepas pulang beraya berkereta baru warna kuning krim susu. Selalunya Johan sekeluarga tiba lebih awal dari kami. Johan kurang gemar menyusur Lebuhraya PLUS. Selalunya Johan lalu Segamat. Kami pula lebih gemar menyusur lebuhraya kecuali masa-masa bercuti. Menyusur lalu berpandangan kampung-kampung laluan biasa bila bercuti. Pandangan desa-desa bila perjalanan santai kala bercuti.

Bersalaman hari raya dengan Bonda yang kelihatannya sedikit kurus. Bersalaman di pintu pagar. Kurus dan berat badan Bonda kurang menentu. Sekejap gemuk sekejap kurus mengikut rajin mengawal makan. Pun begitu Bonda sebenarnya tekun berusaha kuruskan badan. Berbanding dengan kita ini yang semakin berterusan berisi susahnya mahu kurus lagi. Sementelah terlalai dengan komen selalu. Berisi-berisi pun awet muda. Berisi-berisi pun berseri-seri. Berisi-berisi pun cik abang sayang. Mana boleh terus ralit terleka begini. Perlu beriltizam kembali seperti dulu-dulu.

Antara pandangan pertama kala melepasi pintu rumah Bonda. Tu gambar Diana Naim ke? Bangun melihat dari dekat. Memang gambar Diana Naim. Sebagaimana di dalam gambar tertera pada entri ini. Berkomen sendiri dalam hati. Wah Bonda peminat Diana Naim.

Makanya kemudiannya berkisah panjang Bonda kita tentang Diana Naim. Buku Diana Naim. Bersusun majalah dan sisipan surat khabar bermuka depan gambar Diana Naim. Memang pun kebanyakan majalah tempatan musim bulan Ramadhan menjelang Syawal tahun ini - rata-ratanya diboloti oleh gambar-gambar Diana Naim di muka hadapan.

Bonda berkisah tentang terbeli buku tiruan cerita kisah Diana Naim. Nantilah kalau kita terjumpa buku asal ini di bandar kediaman. Boleh kita belikan bukunya buat Bonda. Berkisahlah kita. Buku tulinnya berkulit warna hijau muda. Buku tulisan seorang wartawan wanita. Buku tiruan yang Bonda beli itu berkulit warna hijau tua.

Alhamdulillah Johan sekeluarga tiba kala kami sekeluarga baru mulai mengadap hidangan di atas meja. Lebih kurang pukul 9 malam. Hanya lebih kurang setengah jam selepas kami sampai. Su baru duduk mengadap meja makan kala seorang anakanda beritahu. Pak Su sampai. Suami kita pun bersenyum wajah beritahu Johan sampai.

Johan sekeluarga berbaju raya bertemakan warna beige keemasan. Hampir sama warna baju kurung Rozi dan baju Melayu Johan. Kainnya pun lebih kurang sama material. Gembira Su bila tahun ini Kamal dan Nizam ikut datang selepas dua tahun kepulangan beraya Johan sekeluarga tanpa dua anak teruna mirip wajah Johan ini.

Menegur Nizam sedikit berisi dan semakin tinggi dan semakin hensem. Jawab Nizam sebaya Taza dan senior setahun usia dari Safura. Eh tak ada lah. Nizam lebih tinggi dari Kamal. Sebagaimana Saiful lebih tinggi dari Taza. Suraya lebih tinggi dari Khadijah. Ti lebih tinggi dari Su. Ramai menyangkakan Ti kekanda kepada Su. Kami beza umur hanya setahun. Ti kelihatan lebih matang wajah. Lebih serius penampilan.

Menanyakan khabar pengajian masa kini dua anak teruna Johan ini. Kamal sebaya Suraya ditahun dua kursus Kejuruteraan Mekanikal peringkat diploma. Sedang berlatihan industri di Kuala Lumpur. Nizam tahun satu IPT. Hanya sepelaung kampus IPT ini dari rumah Johan. Juga hanya lebih kurang sepelaung dari kampus pengajian Suraya.

Johan salam mencium tangan kekanda sulung. Sayu terharu hati namun berlagu syukur setiap kali bertemu adinda lelaki nan seorang ini. Su menegur Johan semakin berisi. Pun begitu masih tampan berawet muda. Ramai mengomen Johan berwajah mirip AI bekas mentor Johan dizaman kampus universiti dan zaman Johan berusia 20-an dan awal 30-an. Antara geng sahabat Johan serumah zaman kampus, hanya Johan seorang tidak menceburkan diri di dalam dunia politik negara. Johan lebih ke arah penulisan buku bukan fiksyen.

Komen Su. Pak Su engkau orang muka AI versi hidung mancung dan lebih putih. Pak Su lebih cerah dari AI. Pun sebenarnya Johan bagaikan salinan wajah Ayahanda dan Nenda H.

Kata orang dulu-dulu. Selalunya panas rumah tangga bila anak lelaki saling tidak tumpah rupa seperti wajah bapa. Nyaman rumah tangga kalau anak lelaki berwajah ibu. Entah betul entahkan tidak. Berkebetulan pula Johan mirip wajah Ayahanda. Ramai kata Idris kini berwajah ibu. Terutamanya bila Idris senyum. Kata orang senyum manis Idris mirip senyum ibu. Su pula melihat Idris mirip wajah Johan masa muda. Hanya Johan lebih cerah.

Kurang berselera makan. Sekadar minum teh O panas. Belum pulih sepenuhnya dari demam. Sebagaimana dengan Aidilfitri tahun lepas. Demam selesema dihari raya. Hampir saban tahun kami ke Johor Bahru dihari raya dengan Su demam selesema. Demam semakin demam bila tiba Johor Bahru yang selalunya lebih panas dari bandar kediaman.

Selepas minum secawan teh panas. Minta diri mahu ke Mutiara RINI. Hantar Rendang Daging dan Lemang buat Ti sekeluarga. Pergi bertiga dengan dua puteri. Kereta dipandu Suraya. Manakala Rozi dan Johan turut mengirimkan Lemang dan Ketupat dari Kuala Lumpur. Keluar dari rumah ketika Rozi sedang memotong ketupat nasi himpit.

Hanya lebih kurang sepuluh minit memandu dari rumah Bonda ke Mutiara RINI. Jalan raya penghubung semakin mendekatkan dua taman bersebelahan. Akan lebih dekat bila siap jalan pintas tepi sekolah. Sebenarnya dua taman ini hanya bersebelahan. Taman-taman perumahan berhampiran kampus universiti.

Alhamdulillah bertemu lagi kami semua. Bersalaman hari raya. Bersalaman syukur bertemu lagi. Antara sapaan pertama kita. SMS hari raya hang pun tak balas lagi. Minta maaflah. Berbalasan senyuman Ti. Bab balas membalas ini sememangnyalah kelemahan ketara saya ini. Kelemahan sewajarnya perlu diubah bersungguh-sungguh. Perlu lebih beriltizam mahu berubah.

Sukanya Mariam bertemu kekanda-kekanda perempuan. Mariam semakin keletah. Sudah dua tahun. Tiga tahun pada 4 Disember ini. Kesayangan ramai bila bongsu dalam keluarga. Anakanda saudara bongsu. Cucunda bongsu Bonda. Bagaimanapun sebenarnya Su ramai lagi anakanda-anakanda saudara sebaya dengan Mariam ini di sebelah Ayahanda. Anakanda-anakanda kepada adinda-adinda sebapa lain ibu.

Hanya lebih kurang lima belas minit di rumah Ti. Hanya berbual lebih kurang sepuluh minit. Menolak bila mahu dijamu makan minum. Beralasan mahu singgah sebentar saja. Nanti 'tersangkut' lama bergebang. Juadah raya masakan Ti turut berhidangan di rumah Bonda. Ti masak Ketupat Pulut dan Ayam Masak Kicap. Menurut Ti. Sengaja masak berkicap bila ramai menghidangkan masakan rendang. Sebagai pilihan bagi yang kurang makan rendang.

" Minta maaflah. Tak boleh lama ni. Takut nanti Mak dengan Rozi kecil hati. Nanti diaorang kata apa lama sangat kat sini. Esok kami ingat nak tidur sini. Tidur dua malam sampai lusa. Ingat lusa nak pergi Jusco Tebrau yang baru buka tu. Jusco terbesar di Malaysia? Esoklah kita cerita panjang. "

Pun begitu sebenarnya Bonda dan Rozi sayugia memahami. Ti dan Su akan berbual bersembang panjang bila sesekali bertemu. Boleh bersembang sampai pagi. Bersembang bercerita sampai berkumandang azan Subuh berawal hari.

" Faham. Eloklah esok hang tidur sini. Banyak nak cerita ni. Nak cerita fasal J. Isteri baru dia sepupu kawan kat sekolah. " J ini bekas suami kekanda sepupu kami di Johor Bahru.



Gambar Bonda dan beberapa penulis pada hari menerima anugerah penulisan lebih kurang 20 tahun lalu. Su sendiri pun kurang kenal nama penulis-penulis yang lain itu kecuali seorang sasterawan dari utara itu. Orangnya berkemeja warna merah. Gambar ini sederet dengan gambar Diana Naim di sudut ruang tamu. Tahun gambar itu dirakamkan. Su masih di Shah Alam. Atau berkelana di Senggarang. Atau masih bersekolah di Kuantan. Ingat-ingat lupa. Mengingatkan diri sendiri. Mahu menanyakan Bonda bila ke Johor Bahru lagi.

Salah seorang dari penulis lelaki di dalam gambar itu kini turut menulis blog. Baru terjumpa blog beliau ini. Hanya Su kurang pasti orangnya yang mana satu di dalam gambar ini. Tahu nama tetapi kurang kenal rupa. Beliau ini muda sedikit dari Bonda. Penulis sama nama dengan nama bapa tiri kami bertiga saudara.

Kembali ke rumah Bonda di Skudai dari Mutiara RINI. Rozi di kamar mandi. Johan dan anak-anak semuanya membaca di ruang tamu. Rumah Bonda sebagaimana rumah kami. Sentiasa di sana sini berpandangan mata bahan bacaan. Semua anak-anak Johan seperti anak-anak kami. Gemar membaca. Bersalin acuan minat dan hobi membaca ibu dan bapa. Sebagaimana komen Rozi. Johan macam Kak M. Suka membaca. Suka beli buku. Suka sejarah.

Merakamkan gambar suasana semuanya ralit membaca di ruang tamu. Merakamkan gambar suasana hari raya malam 1 Syawal di rumah Bonda. Merakamkan gambar Rozi dan dua puteri saudara.

Bonda berkisah Su terlupa bawa dua kek masakan Rozi buat keluarga Ti. Dua bekas kek besar ini tertinggal di atas meja kopi di tepi pintu rumah Bonda. Rutin bertahun-tahun hari raya di Johor Bahru. Buah tangan kek masakan Rozi.

Kembali mengadap meja makan. Hanya menjamah sedikit Ketupat Pulut dengan Rendang Daging dari Bandar Baru Bangi. Menjamah hanya secuit jari. Masih kenyang makan nasi di Melaka. Hidangan lain di atas meja. Ketupat Pulut masakan Ti. Ayam Masak Kicap Mutiara RINI. Lemang Bangi. Lemang dan Ketupat Nasi Himpit dari Kuala Lumpur. Kerepek Ubi Pedas beli dari Ayer Keroh petang tadi.

Berbual-bual dengan Rozi. Bual-bual santai. Kes penceraian sesaorang beristeri dua itu. Sesaorang popular dengan lagu Sejati lewat hujung tahun 80-an. Ramai pula sahabat karib Su sebagaimana Rozi. Lebih menyebelahi penyanyi ini. Shimah pun meminati penyanyi ini. Masa muda-muda dulu kala kita masih berusia 20-an. Memanglah kita turut meminati lagu dan suara penyanyi ini. Bagaimanapun bukanlah idola. Minatnya pun kerana beliau ini dulu kerap membawakan lagu-lagu M. Nasir. Kita pula kalau sesaorang berkisah berkahwin satu lagi. Mulalah kurang meminati lagi. Tidak kiralah samada personaliti itu penulis ke, seniman ke, orang Melayu ke, orang putih ke. Memang kurang wajar begitu tetapi begitulah selalunya. Walhal tahu itu semua taqdir orang sekian-sekian.

Berbual tentang sebulan dua ini hampir semua majalah tempatan bermuka hadapan dengan wajah Ina Naim. Komen Nizam kala memilih bersusun majalah Nenda di bawah kabinet rendah tv. Tv bertayangan filem Melayu siaran tv negara seberang. Lupa cerita apa kala mencatat ini. Cerita hantu mungkin. Ina Skudai. Eh Ina Kulai.

Kita senyum mengomen kata. Ina Kulai. Padahal dia bukan pun orang Kulai. Dia orang Kota Tinggi.

Rozi berkisah pada Bonda tentang penyanyi yang baru berkahwin itu kini dianugerah bintang kebesaran bergelar datuk. Hari ini barulah kita perasan. Rozi peminat penyanyi ini. Berlawananlah dengan Su dan Ti juga Bonda. Juga tiga orang puteri kami. Ti sampai sudahnya menggugurkan rancangan asal mahu meletakkan Siti dipangkal nama Mariam. Tiga orang cahayamata perempuan kami berpangkal nama Siti, kurang gemar dipanggil Siti. Kita pula bukanlah sampai bertahap tidak suka. Hanya biasa-biasa saja. Kurang mengikuti lagu-lagu penyanyi wanita masa kini.

Komen Rozi. " Rozi perasan di sekolah. Orang yang tak suka Siti rata-ratanya peminat Diana Naim. 21 September tu. Rata-rata kawan-kawan Rozi di sekolah yang tak suka Siti semuanya tengok Mawi-Ina. Rozi tengok Siti kahwin. "

Betul ke? Kita tidak minat siapa-siapa pun antara tiga orang itu. Pun begitu malam 21 September itu tv rumah kami bertayangan saluran RTM dan Astro. Malam bertiga di Hotel Equatorial Shah Alam.

Sebagai rekod peristiwa. Entah kenapa. Buat pertama kali pertemuan Su dan Rozi berbual santai berkisah personaliti popular. Sesekali berbual santai. Selalunya kami lebih berkisah cerita semasa dan perkhabaran terkini sesama kami. Berkebetulan kisahan personaliti sekian-sekian sedang hangat berita lewat media tempatan.

Rozi bertukar baju dari baju kurung warna krim emas kepada kemeja berwarna hijau muda kekuningan. Su berkisah beritahu Bonda. Hijau beginilah warna kulit buku Diana Naim.

Berkisah tentang kami tertinggal rendang. Komen Rozi berketawa kecil bernada bergurau. " Jangan tertinggal kad Touch N Go macam dalam iklan radio tu. " Tidaklah Su berkisah cerita tentang kad Touch N Go yang hilang menjelang hari raya.

Semakin demam. Mandi air panas lewat malam. Mandi di kamar mandi kamar tidur Bonda. Kepenatan amat. Tidur awal selepas menyusun bagasi dan menjawab beberapa SMS hari raya diterima sedari semalam. Lambat tutup lampu kamar bila Safura ralit baca buku Sophia Kinsella berkulit warna ungu. Mengomen mengingatkan Safura. Jangan kasar sangat dengan buku kita itu.

" Tengok buku Mak. Semuanya macam baru beli. Kalau tanda buku, guna penanda. Bukan kelepet macam tu. "

Suami dan Johan dan semua anak lelaki tidur di ruang tamu. Dua tilam Toto berwarna biru dibentang luas di ruang tamu. Tilam nipis berbunga biru buat suami dan Idris di hadapan pintu. Tilam lebih nipis berwarna biru muda buat Johan dan dua anak lelaki. Nizam tidur di sofa rotan. Sebenarnya Toto ini sensitif sebutan kalau di dalam bahasa ibunda suami. Sesuatu berkaitan dengan malu. Sports Toto di Sabah ditukar kepada Sabah Lotto.

Rozi dan Nurul tidur di kamar belakang di sebelah dapur. Kamar mengadap rumah belakang. Nurul siap berpakaian kaftan lawa selepas mandi malam. Kita mengomen lawanya Nurul berkaftan.

Su dan dua anak dara seperti selalunya. Tidur di kamar tengah berjendela kecil ditutup rapat bila malam. Tingkap kaca ini selalu tutup malam sedari tahun berperistiwa rumah ini kemasukan pencuri dimusim raya beberapa tahun lalu. Menambah panas kamar bagaikan berkuap bila bermusim panas begini. Kamar berkipas meja dulu Su beli pada hujung tahun 1980-an. Beli pada hari-hari menjelang kenduri kahwin Ti. Lama bertahan kipas warna biru muda ini.

Tidur di atas katil sofa bercorak batik berbunga warna hijau. Berkongsi katil sofa dengan Safura. Suraya tidur seorang di atas tilam single berwarna merah jambu. Suraya berselimut batik warna kuning kunyit. Su malas menggunakan selimut bila malamnya panas selatan. Pintu kamar dibiarkan sedikit terbuka buat menggamit cahaya dari luar. Cahaya lampu dari belakang. Pintu bertabirkan kain langsir.

Teringat zaman serangan orang minyak dizaman kampus dulu. Ramai kawan-kawan berpakat berselimut batik. Ramai mengatakan orang minyak ini takut dengan selimut batik atau keliru dengan tubuh berselimut batik. Su kurang percaya. Mengandaikan itu sebagai syirik kerana sandarannya lebih kepada selimut. Hanya Su seorang di dalam dorm berselimut putih. Saya berselimut dengan doa dan pagar Ayat Kursi. Itu cerita dulu-dulu.

Pun sampai kini rasa-rasanya tiada sehelai pun selimut batik di rumah kami. Bagaimanapun semua anak-anak Su diselimutkan dengan kain batik lepas sejurus selepas lahir. Entah kenapa Su suka selimutkan bayi baru lahir dengan kain batik lepas atau kain batik sarung. Mungkin kerana kain-kain ini halus lembut sesuai buat bayi lembut baru lahir. Setiap cahayamata kami ada satu kain batik sarung berkenangan selimut semasa baru dilahirkan. Su simpan setiap satu kain batik ini sebagai kenangan hari kelahiran semua cahayamata.

Kembali ke Johor Bahru malam 1 Syawal 1427 H menjelang 2 Syawal. Malam 24 Oktober.

Seperti biasa bila pulang ke Johor Bahru. Sentiasanya dirasakan panas berbahang bandaraya selatan ini. Berlekit panas walaupun baru lepas mandi. Tidur berpanas malam tanpa perlu berselimut. Bagaimanapun terlalu penat berdemam malam sampai bagaikan terlupa rasa panas berbahang. Terlelap mata hanya beberapa minit selepas melandai badan.

Alhamdulillah 1 Syawal 1427 H sentosa tenang harmoni. Alhamdulillah senang sanubari berkumpul meriah.





Tetamu Rasanubari

johorbahru, eidulfitri, malam, wilmana, 24haribulan, syawal, semasa, tuesday, sentosa, keluarga, buku, makanmakan, doa, sembang, thursday, nostalgia, 30haribulan

Previous post Next post
Up