Tazkirah di pagi Selasa~~

Sep 01, 2009 11:32

Memandangkan baru sehari melewati Hari Kemerdekaan yang ke-52, tak terasa sangat sekiranya kita terlewat untuk mendedikasikan seberapa banyak entri dalam Bahasa Melayu. Malah... seminggu selepas tanggal 31 Ogos atau sebelum, pasti memadai... dan bukan sahaja hanya pada tanggal tersebut. XD. Maka entri ini tertaip d sini...

Mungkin sebab kebetulan, Ramadan juga jatuh di pertengahan Ogos; entri ini juga berkaitan Ramadan. Dan mungkin juga entri ini terpanggil untuk ditaip, disebabkan oleh seseorang. Siapa dia... sendiri termakan cili, sendirilah terasa.

Isian ini bukan hanya didedikasikan kepada sahabat seagama sahaja. Saya pasti, sebahagian isian hari ini patut adalah berkaitan untuk sahabat yang berbeza agama... sekiranya Islam diganti dengan agama lain.

Secara ikhlasnya, saya boleh katakan saya ni bukanlah sangat warak atau kuat agama. Tapi sebagai seorang Muslimah, iman yang ada sekurangnya bukanlah sedikit. Nak kata kita nak berdakwah, jauh sekali. Walaupun kalau nak dikatakan kita tak pernah berdakwah, jauh jua sekali. Ini masih seorang muslimah yang telah menyertai Sekolah Agama selain dari Sekolah Kebangsaan selama 4 tahun di bumi Selangor Darul Ehsan. Tak kurang jua pengajaran agama di sekolah selama ini. Ini masih muslimah yang pernah digelar Ustazah Kecil semasa tempoh tersebut dan dibayar 20 sen setiap hari untuk mengambil alih urusan semasa di kelas agama, setiap kali Ustaz yang mengajar perlu keluar untuk masa yang lama untuk menjalankan urusan penting. Budak kecil ini jugalah yang pernah, tanpa tersangka... telah membuka hati sahabatnya yang lain untuk menerima Islam; sedangkan ia tidak pernah terpintas di fikiran yang ia mahu berdakwah.

Pendek kata, diri ini terasa sedih... membaca, melihat perwatakan sebahagian rakan-rakan disampingnya, apabila ia kelihatan yang mereka tidak terfikir untuk mendekatkan diri kepada yang Esa mahupun mendalami Islam. Memanglah dewasa ini, banyak kejahilan Bangsa Melayu dapat dilihat... memperalatkan isu agama untuk kepentingan sendiri mahupun mereka yang tidak segan silu melakukan jenayah walaupun semasa bulan mulia menziarahi kita semua. Akan tetapi, wahai sahabat seagama... wajarkah kita menjauh diri dari menjalankan ibadah, hanya kerana sebilangan Melayu yang lupa asal usul diri mereka mahupun agama? Adakah kamu rela diheret sekali memikul dosa seperti mereka yang sengaja meninggalkan apa yang sepatutnya mereka lakukan?

Seperti telah lama kita pelajari, ibadah puasa adalah untuk Ilahi. Dan Puasa, bukan sahaja dengan menahan makan selama sehari tetapi menahan segala deria dari sebarang perlakuan yang boleh membatalkan puasa. Jikalau itupun tidak dapat dilakukan, apa lah guna puasa itu selain lapar dahaga? Jikalau ibadah puasa itu tidak disertai dengan solat serta ibadah yang lain, apalah guna nya kita berpuasa?

Mengatakan diri tidak kisah *tapisan* berkenaan hal keagamaan, apabila ramai yang tidak malu melakukan kekacauan di khalayak--- hanya menampakkan kepada semua tentang kejahilan sendiri. Kerana di akhirat nanti, bukan dosa orang lain atau pahala orang lain yang akan memberi kesan kepada kamu. Tapi pahala dan dosa yang kamu sendiri lakukan yang diambil kira. Sesal sekarang masih ada harapan, sesal kemudian di akhirat.... apakan daya. Tatkala masa itu, dimana mulutmu akan terkunci... dan segala anggotamu yang akan menjadi saksi.

Sehingga kemudian, saya minta diri. Dan mengisi entri yang seterusnya dengan perkara yang diminati diri...

t: life, t: bm

Previous post Next post
Up