Kerana ARASHI

Feb 05, 2013 13:34




Oleh Nor Faizah Mohamed

Mereka datang daripada latar belakang berbeza, tapi hanya satu yang mengeratkan tali persahabatan wanita ini, lelaki! Bukan calang-calang lelaki yang berjaya membuatkan empat sahabat ini melakukan sesuatu yang dianggap membuang masa oleh segelintir orang lain.

Nyata, pengaruh Satoshi Ohno, Jun Matsumoto, Sho Sakurai, Masaki Aiba dan Kazunari Ninomiya yang membentuk kumpulan popular Jepun dikenali sebagai Arashi berjaya memberi impak besar dalam kehidupan empat sahabat ini.

Bermula sebagai peminat, Linda Hamid, Helen Hamdan, Hotaru Siow dan Syiena Arshad kemudian menyertai kelas bahasa Jepun bagi memudahkan mereka memahami setiap bait ayat yang disampaikan oleh kumpulan itu.

Malah, salah seorang kini menjadi tutor bahasa Jepun di pusat bahasa yang disertai mereka.



MINAT mendalam pada Arashi membolehkan empat wanita ini bersahabat baik.

Bagi Linda, minatnya mendalami bahasa dan budaya Jepun selepas melihat kakak kembarnya mempelajari bahasa terbabit.

“Sebelum ini saya lebih terarah kepada boyband Barat dan tak minat apa pun mengenai Jepun. Tapi masa itu kakak kembar saya mula belajar bahasa Jepun.

“Pada 2004, saya menonton drama Orange Days dan bermula dari situ, saya ingin tahu lebih lanjut mengenai Jepun,” katanya.

Linda seterusnya menonton drama Gokusen dan tertarik dengan watak Shin Sawada lakonan Matsumoto.

“Ketika itu, polisi saya apabila menonton drama bergantung kepada watak wanita dan bukan disebabkan lelaki. Tapi dalam Gokusen, saya suka menonton watak Matsumoto itu.

“Kakak saya kemudian mencari di Internet mengenai pelakon terbabit hingga akhirnya mengetahui dia juga penyanyi, salah seorang ahli kumpulan Arashi,” jelasnya.

Walaupun pelik melihat kakaknya terlalu meminati Arashi, Linda tetap menyokong kakaknya. Kesempatan berkenalan dengan seorang lagi peminat Arashi kala menemani kakaknya di Putrajaya berjaya membuatkan Linda tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan kumpulan ini.

Kecenderungan untuk mengikuti kelas bahasa Jepun pula bermula selepas dicabar kakak kembarnya.

“Saya ingin mendapatkan buku Arashi, yang semuanya berbahasa Jepun. Kakak saya yang ketika itu mengikuti kelas bahasa Jepun seakan-akan mencabar saya untuk turut sama mempelajari bahasa ini.

“Katanya, lebih baik saya tidak membelinya kalau kefahaman saya mengenai buku itu kurang 30 peratus. Kata-katanya itu membuatkan saya bersemangat untuk mendaftarkan diri ke kelas bahasa Jepun pada 2005,” ujarnya.

Tambah Linda, aktiviti yang digelar fandom ini turut memberi kesan positif pada dirinya.

“Sebelum sertai fandom ini, saya jarang keluar rumah bersama rakan. Ibu bapa juga agak tegas dengan kegiatan sosial kami, jadi saya tiada rakan yang benar-benar memahami keadaan saya.

“Tapi sejak mengenali rakan fandom, secara perlahan-lahan saya mula dapat keluar dan melakukan perkara yang saya gemari. Bayangkan pada usia 25 tahun barulah saya dapat keluar dan melakukan aktiviti bersama rakan lain.

“Rakan fandom juga amat memahami situasi saya dan kami sangat rapat hinggakan kenal dengan keluarga masing-masing.

“Disebabkan Arashi jugalah saya ke luar negara buat pertama kali untuk menonton konsert mereka pada 2008,” katanya

Bagi Helen, pengenalannya pada budaya dan bahasa Jepun bermula apabila didedahkan dengan kartun anime berpunca daripada abang yang gemar mengumpulnya.

“Pada masa sama, saya menonton drama Takuya Kimura, Beautiful Life pada 2000. Dari situ saya terus berminat mendalami lagi budaya dan mempelajari bahasa Jepun untuk memudahkan saya memahami karya mereka,” katanya.

Helen bagaimanapun mengurangkan seketika minatnya pada anime ketika di sekolah menengah.

Tapi minat itu bercambah semula ketika di universiti dan Helen menggunakan kelebihan capaian Internet yang pantas untuk menonton kartun anime kegemarannya.

“Satu demi satu anime saya tonton hinggalah saya terjumpa drama Gokusen yang dimuat naik fandom. Saya tertarik dengan satu watak lalu mencari maklumat pelakon itu di Internet.

“Carian saya kemudian membawa kepada pautan laman sesawang yang menunjukkan bahawa pelakon itu juga adalah penyanyi dan salah seorang ahli kumpulan Arashi.

“Atas dasar ingin tahu lebih lanjut, saya menonton pautan seterusnya iaitu klip video lagu Pikanchi Double daripada kumpulan Arashi,” ujarnya.

Helen kemudian terus menonton beberapa video Arashi, tapi tidak berpuas hati kerana tempoh yang singkat bagi setiap video.

“Saya sertai forum peminat Arashi Malaysia dan cuba minta bantuan mereka muat turun video membabitkan Arashi. Tiba-tiba Linda menghantar mesej pada thread peminat Malaysia dan terus ajak untuk bertemu bagi berkongsi video,” katanya.

Jelas Helen, jika tidak kerana Arashi mungkin dia tidak sampai ke tahap di mana berjaya dalam ujian JLPT (Ujian Kefasihan Bahasa Jepun) hingga membolehkan-nya menjadi tutor di pusat bahasa terbabit.

Hotaru dan Syiena pula pernah ke Jepun untuk menonton konsert Arashi pada 2011 dan 2012. Hotaru sebelum ini tahu mengenai Arashi tapi tidak begitu fanatik.

“Sebelum ini boleh dikatakan minat saya pada Arashi sekejap ada, sekejap tak ada. Saya pernah lihat video persembahan mereka pada 1999, kemudian minat watak manga yang dibawakan seorang ahli Arashi pada 2002.

“Pada 2005 pula, saya sukakan lagu dalam drama Hana Yori Dango dan Arashi yang menyanyikannya. Saya terkejut kerana kumpulan itu masih bersama.

“Tapi saya meminati Arashi secara mendalam pada 2010 menerusi Syiena hanya selepas menyertai kelas bahasa Jepun. Sama seperti fandom lain, kami saling berkongsi video dan maklumat mengenai Arashi.

“Tambahan apabila sudah bekerja, lebih mudah mendapatkan barangan memorabilia Arashi secara dalam talian dan kami sudah mampu untuk ke Jepun bagi menyaksikan persembahan mereka,” katanya.

Dek terlalu meminati Arashi juga, Syiena nekad ke Jepun bersama Hotaru semata-mata menonton pementasan teater ‘Aa, Koya’ lakonan Matsumoto pada 2011.

Tegas Syiena, hanya fandom yang faham mengenai minat mereka ini. Baginya, Arashi yang menjadi tunjang pada minatnya untuk mendalami bahasa lain.

“Ramai yang lihat sudut negatif mengenai fandom ini. Tapi kami cuba jadikannya perkara positif, ia bukanlah perkara sia-sia jika dimanfaatkan sebaiknya.

“Belajar bahasa asing ini juga dapat menambah kemahiran dalam hidup kita

Benar, ramai yang rasakan bahasa Jepun sukar dipelajari tapi bagi saya, apa jua bahasa asing pasti ada kesukarannya asalkan kita sabar dan fokus dalam mempelajarinya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04Sumber :
http://www.hmetro.com.my/articles/Memahamibahasa_budayaJepun//Article

news

Previous post Next post
Up